KERAJAAN disaran melakukan penambaikan terhadap pelaksanaan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) bagi memastikan ia lebih berkesan membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKMS).
Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Abdul Halim Husin berkata, penambahbaikan itu boleh dilakukan melalui libat urus dengan PMKS yang menjana hampir 900,000 peluang pekerjaan atau menggaji 80 peratus pekerja di negara ini.
"Antara penambahbaikan adalah seperti penambahan tempoh moratorium kepada enam bulan bagi golongan B50, penilaian Credit Tip Off Service Sdn Bhd (CTOS) dan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) untuk B80 perlu ditangguhkan enam bulan, 50 peratus PMKS terbawah perlu diberi moratorium yang serupa kerana mereka menjana pekerjaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Abdul Halim berkata, cadangan berkenaan akan dibawa kepada Majlis Tindakan Ekonomi dan Majlis Pemulihan Negara dalam masa yang terdekat.
Pada 13 Oktober lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan telah mengumumkan program URUS kepada rakyat yang berpendapatan isi rumah kurang RM5,880 atau lebih rendah, yang turut merangkumi pengecualian faedah pinjaman untuk tiga bulan, pengurangan bayaran ansuran untuk tempoh hingga 24 bulan dan pengurangan faedah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram