Ramai setuju, tidak perlu rayu keputusan mahkamah kes basikal lajak


TERTUDUH dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah. — The Star

"BATALKAN hasrat untuk membuat rayuan atas tertuduh." Itu merupakan pandangan seorang peguambela jenayah dengan nama akaun media sosial Facebook Ulasan Apek Cina.

Peguambela itu berkata demikian dalam memberi pandangannya berhubung perancangan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk memfailkan rayuan berhubung keputusan mahkamah yang membebaskan seorang jurujual daripada pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak empat tahun lalu.

lajak ulasan

ULASAN Apek Cina tidak bersetuju dengan tindakan AGC untuk memfailkan rayuan berhubung keputusan mahkamah untuk kes kemalangan maut basikal lajak di Johor Bahru. — Facebook

Dalam hantaran yang dikongsi pada Selasa, peguam bela berkenaan menyuarakan pendapat bahawa rayuan AGC tidak seharusnya berlandaskan seksaan dan kos kepada tertuduh yang telah dibebaskan.

"Saya ingin menyeru kepada rakan bijaksana saya dari pihak pendakwaan bahawa sumber pendakwaan adalah dari rakyat dan rayuan haruslah dilakukan atas faktor kepentingan awam, keadilan serta kesaksamaan.

"Dalam kes ini, mahkamah yakin bahawa tertuduh adalah sedar ketika memandu, membawa bawah had laju di lebuh raya," katanya.

Tambahnya lagi, dalam hal berkenaan beberapa perkara perlu diambil kira antaranya keadaan kawasan kejadian, waktu ia berlaku dan faktor kecuaian ibu bapa yang tidak mengawal anak bawah umur.

Jelasnya lagi, bukannya semua kes maut menjadi tanggungjawab orang lain atau tertuduh, sebaliknya si mati juga bertanggungjawab dalam kejadian berkenaan.

Perkongsian Ulasan Apek Cina turut disokong oleh ramai pengguna Facebook yang turut bersetuju dengan keputusan mahkamah membebaskan jurujual itu.

Rata-rata mereka berkongsi tentang realiti sikap golongan basikal lajak.

Seorang pengguna, Suez Tiez memberitahu dia pernah melalui kawasan kejadian sebelum kemalangan maut itu berlaku.

Katanya, dia ketika itu pulang dari kerja melihat kanak-kanak bermain basikal lajak sengaja melintas jalan ketika kereta bergerak dan dia mendakwa mereka memang sengaja berbuat demikian.

komen lajak

SUEZ TIEZ berkongsi dia pernah lalu di lokasi kejadian sebelum terkejut dengan kehadiran geng basikal lajak. — Facebook

"Memang tengah-tengah malam budak-budak lajak ramai main basikal mereka di kawasan tersebut.

"Mereka siap lalu atau menyilang di depan kereta saya yang tengah bergerak. Siap ketawa-ketawa seronok bila dapat lepas sedangkan saya terkejut sangat kerana tiba-tiba mereka ada depan kereta saya macam tu," tulisnya.

Terdahulu pada Ahad, Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor membebas dan melepaskan seorang jurujual wanita, Sam Ke Ting, 26, daripada pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak empat tahun lepas.

Keputusan itu diputuskan Majistret Siti Hajar Ali selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah. — Majoriti

basikal lajak, jurujual, bebas, ACG, rayuan, peguambela