Bajet 22: Inisiatif ekonomi tidak boleh pinggirkan masyarakat desa


  • Bizz
  • Jumaat, 22 Okt 2021

KEMUDAHAN bekalan air bersih di desa juga wajar dipandang secara serius oleh kerajaan menjelang Bajet 2022. — Gambar hiasan/The Star

BAJET 2022 wajar memberikan keutamaan kepada pembangunan infrastruktur kawasan desa bagi memastikan pemulihan dapat dilakukan selepas terkesan dengan Covid-19.

Pembangunan itu membabitkan sistem pengangkutan dan logistik yang cekap serta aspek perdagangan.

Pakar Ekonomi daripada Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ia membabitkan pembangunan infrastruktur yang berimpak tinggi melalui sistem pengangkutan dan logistik yang turut menghubungkan kawasan luar bandar.

“Sistem pengangkutan dan logistik yang cekap dan inklusif yang boleh meningkatkan kebolehcapaian pengangkutan awam, perdagangan serta rangka kerja kawal selia.

“Apabila ini dilaksanakan kita mahu lihat berlaku rangkaian rel dan jalan raya yang lebih bersepadu antara lapangan terbang, pelabuhan, kawasan perindustrian, bandar dan desa,” katanya.

Secara tidak langsung, penambahan kemudahan infrastruktur akan mentransformasikan ekosistem logistik dan akan menjadi pemacu perubahan kepada ekonomi dan sosio negara.

Ini kerana semua kawasan dapat dihubungkan dengan mudah dan cepat sekali gus dapat mrngembangkan aktiviti ekonomi.

Sementara itu, Pakar Ekonomi daripada Asia e-University, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor lebih menekankan fokus terhadap bekalan air bersih kepada masyarakat desa.

Selepas 64 tahun negara mencapai kemerdekaan, Dr Shazali melihat rakyat terutama di kawasan luar bandar masih dihimpit masalah bekalan air bersih ekoran keadaan air paip kotor dan sebagainya.

Dr Shazali beranggapan, jika masalah itu berlarutan, ia akan menjejaskan kualiti hidup rakyat dan membantutkan perkembangan ekonomi.

“Isu-isu infrastruktur perlu diberi perhatian berterusan oleh kerajaan terutama melibatkan bekalan air bersih ini kerana ia adalah kemudahan paling asas.

“Jadi, ia perlu lengkap dahulu. Di kawasan-kawasan pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak, masalah bekalan air sangat serius hingga ada yang terpaksa tadah air hujan,” katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

bajet 2022, masyarakat desa, covid-19