'Usahawan pelancongan Islam perlu tingkatkan kefahaman aspek halal'


  • Primer
  • Khamis, 21 Okt 2021

NANCY menjelaskan kefahaman terhadap aspek halal mampu membuatkan usahawan bersaing dan menandingi kualiti produk pelancongan yang lain. — The Star

KEFAHAMAN berkaitan aspek halal perlu ditingkatkan oleh usahawan dalam segmen pelancongan Islam, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

Menurut beliau, ia bertujuan bagi membolehkan mereka mengenal pasti unique selling point (USP) pada produk pelancongan masing-masing.

"Hal seterusnya akan turut memberi jaminan bahawa produk yang diusahakan mereka tidak melanggar syariat Islam.

"Kita juga menggalakkan kerjasama antara Pusat Pelancongan Islam (ITC) dan Jabatan Standard Malaysia dalam membangunkan garisan panduan dan standard jelas berkaitan produk dan perkhidmatan pelancongan Islam," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Seminar Keusahawanan dan Kepimpinan Pelancongan Islam secara maya pada Khamis.

Tambah beliau lagi, kerjasama itu juga dapat membantu usahawan baharu dan sedia ada meningkatkan standard kualiti dalam pelancongan Islam dan produk-produk yang dihasilkan.

Jelasnya lagi, mereka juga akan mampu bersaing dan menandingi kualiti produk pelancongan yang lain.

"Skop pelancongan Islam adalah luas merangkumi produk dan perkhidmatan berciri Islam, hospitaliti dan penginapan mesra Muslim namun penerokaannya masih lagi di peringkat awal, justeru mendedahkan usahawan dengan peluang-peluang perniagaan baharu.

"Penerokaan perniagaan-perniagaan baharu penting, mengambil kira laporan Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2021 yang menjangkakan pelancong Muslim akan mencecah 26 juta hujung tahun ini sekiranya sempadan negeri dan antarabangsa dibuka," ujarnya.

Nancy turut berkongsi, laporan sama turut menjangkakan pasaran pelancongan Muslim pada 2023 pulih hingga 80 peratus.

Hurai beliau, melihat kepada prestasi pelancongan Islam yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi pasca Covid-19, secara tidak langsung menggambarkan peluang besar telah tersedia bagi usahawan perniagaan dan golongan muda yang ingin menceburi pasaran segmen pelancongan Islam.

"Sebelum pandemik COVID-19 pada 2019, jumlah ketibaan pelancong Muslim ke Malaysia adalah seramai 5.3 juta orang dengan perbelanjaan pelancongan sebanyak RM16.72 bilion.

"Ia sekali gus membolehkan Malaysia dinobat sebagai negara terbaik bagi sektor Pelancongan Mesra Muslim sejak 2011 oleh DinarStandard dan CrescentRating," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram