'Bukan peluru berpandu hipersonik, tapi kapal angkasa'


  • Benua
  • Selasa, 19 Okt 2021

LAPORAN mendakwa Beijing kini sedang membina senjata hipersonik dan lebih maju berbanding yang diketahui oleh AS.

CHINA menafikan laporan yang mengatakan negara itu menguji peluru berpandu nuklear hipersonik sebaliknya mendakwa sedang melakukan ujian kapal angkasa.

Memetik beberapa sumber, terdapat laporan mengatakan China melakukan ujian itu pada Ogos.

β€œIa bukan peluru berpandu, itu adalah kenderaan ruang angkasa,” kata jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian.

Lijian juga menambah yang ujian kapal angkasa itu adalah perkara rutin untuk menguji teknologi bagi membolehkan kapal berkenaan diguna semula.

Malah Lijian juga mendakwa sebelum ini terdapat banyak negara sudah pun melakukan ujian yang sama.

Perkembangan ini hadir ketika ketegangan berlaku antara China dan Amerika Syarikat (AS) dan agensi perisik juga dilaporkan terkejut dengan ujian peluru berpandu berkenaan.

Laporan mengatakan Beijing kini sedang membina senjata hipersonik dan lebih maju berbanding yang diketahui oleh AS.

Program ruang angkasa China dijalankan oleh pihak tentera dan ia berkait rapat dengan agenda membangunkan peluru berpandu hipersonik dan teknologi lain yang mungkin meningkatkan tahap kebimbangan AS.

Selain China dan AS, beberapa negara lain juga berusaha membangunkan teknologi hipersonik dengan Russia dan Korea Utara sudah pun mendakwa berjaya menguji peluru berpandu hipersonik.

India, Jepun, Australia, Perancis dan Jerman juga dikatakan kini dalam proses membangunkan senjata berkenaan. β€” Agensi