Industri automotif harap kerajaan lanjut pengecualian cukai


  • Bizz
  • Selasa, 19 Okt 2021

PENGGIAT automotif menjangka inisiatif untuk memperkukuh industri kenderaan elektrik tempatan dan ekosistem teknologi hijau akan diumumkan dalam Bajet 2022 yang akan datang. — Bernama
PENGGIAT automotif berharap kerajaan dapat melanjutkan tempoh pengecualian cukai jualan dalam Bajet 2022 akan datang.

Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia Sdn Bhd, Sarly Adle Sarkum percaya, langkah tersebut dapat membantu rakyat untuk membeli pada harga yang lebih rendah selain meningkatkan industri automotif negara.

"Kami menghargai usaha kerajaan untuk melanjutkan pengecualian cukai jualan sehingga Disember 2021 dan berharap lanjutan itu akan diumumkan dalam bajet.

"Kami berharap kerajaan akan mempertimbangkan untuk melanjutkan lagi pengecualian cukai jualan sehingga Jun 2022 berikutan kami yakin ini akan membantu ramai rakyat Malaysia untuk membeli kereta dengan penjimatan tambahan dan pada masa sama meningkatkan industri automotif,” katanya kepada Bernama.

Tambah Sarly, pihaknya turut berharap kerajaan akan mengumumkan inisiatif untuk memperkukuh industri kenderaan elektrik (EV) tempatan dan ekosistem teknologi hijau dalam bajet tersebut.

Katanya, Honda merupakan perintis dalam memperkenalkan teknologi hibrid kepada pasaran Malaysia sejajar dengan usaha kerajaan untuk menggalakkan dan membangunkan teknologi hijau.

"Justeru, kami menghargai jika kerajaan dapat menggalakkan pelbagai dasar dan insentif teknologi hijau untuk mempromosikan teknologi hijau dalam kalangan penggiat automotif dalam industri,” katanya.

Usaha ini adalah sejajar dengan aspirasi negara untuk matlamat mobiliti rendah karbon dan agenda mobiliti hijau seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang diumumkan bulan lalu.

Sementara itu, Pengarah Urusan Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM), Erik Winter berkata, kumpulan menyokong matlamat kerajaan seperti yang disasarkan dalam RMK12 untuk meningkatkan mobiliti elektro (e-mobiliti).

"Malaysia tidak boleh kehilangan peluang yang dapat dibawa oleh EV, justeru kami berharap kerajaan akan memperuntukkan dana dalam Bajet 2022 untuk membangunkan pelan tindakan e-mobiliti untuk Malaysia.

"Kita perlu melihat kepada mewujudkan ekosistem EV yang menyeluruh, memperluas infrastruktur yang sesuai, memperkenalkan insentif cukai untuk perniagaan dan pelanggan, dan banyak lagi.

"Kami di VPCM sentiasa bersedia untuk menyokong kerajaan dengan visi dan pengetahuan industri di mana sahaja diperlukan,” katanya.

Winter berkata, matlamat kerajaan dalam RMK12 untuk meningkatkan e-mobiliti merupakan langkah penting kepada negara untuk menjadi negara rendah karbon dan peralihan itu telah berlaku di peringkat global apabila EV menjadi norma dengan cepat.

Dalam pada itu, Persatuan Persekutuan Syarikat-Syarikat Motor dan Kredit Malaysia (FMCCAM) berharap kepada geran kerajaan dan pinjaman mudah untuk ahlinya dalam bajet negara.

Presidennya, Datuk Tony Khor berkata, inisiatif digital FMCCAM iaitu ezAuto, yang menyasarkan untuk mentransformasikan industri kereta terpakai, masih kekurangan pembangunan untuk memenuhi keperluan industri yang sentiasa berubah.

"Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat, platform transaksi tanpa sentuh ezAuto memberikan perkhidmatan bidaan dan perdagangan kereta terpakai secara percuma kepada lebih 700 penjual kereta terpakai kecil, sederhana dan mikro.

"Kami ingin kerajaan menyokong dan memberikan geran supaya kami dapat meningkatkan dan memperkenalkan ciri-ciri digital baharu kepada platform dalam talian,” katanya.

Khor, yang telah berada dalam industri selama lebih 30 tahun, menguruskan lebih 4,500 penjual berdaftar di bawah FMCCAM, berkongsi bahawa terdapat ahlinya, yang menghadapi kesukaran untuk mengekalkan perniagaan mereka berikutan pandemik, amat memerlukan bantuan untuk bertahan.

"Kami berharap kerajaan dapat memberikan pinjaman perniagaan mudah kepada ahli kami supaya mereka dapat menghadapi tempoh sukar ini dan bertahan sehingga ekonomi kembali pulih dalam masa terdekat,” katanya. — Bernama