Pusat Internet Komuniti beri manfaat kepada usahawan kecil luar bandar


  • Bizz
  • Isnin, 18 Okt 2021

USAHAWAN kecil luar bandar kekal produktif memasarkan dan meneruskan aktiviti jualan dengan cara baharu. — Bernama


TRANSFORMASI kerajaan menukar Pusat Internet Komuniti (PIK) kepada Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) dilihat mampu membantu kelompok peniaga kecil di kawasan luar bandar.

Dengan pengenalan ini, secara tidak langsung beri peluang kedua buat golongan itu selepas pendekatan tradisional sebelum ini mula terjejas ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Malah, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga beri peralihan positif buat usahawan ini untuk mula beralih arah cara jualan seiring dengan peredaran semasa selepas premis sedia ada terpaksa ditutup.

Pengenalan PIK menjadi ‘nyawa kedua’ dan buka ruang untuk peniaga mendapatkan pendedahan untuk menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk memasarkan bahan jualan.

Melalui program PIK, sudah ada yang mula menuai hasil dan diantaranya adalah pengusaha kafe, Normah Ketot, 55.

Sejak mula mendaftarkan diri dalam PIK Tanah Rata Januari tahun lalu, kafe yang diusahakan sejak 2014 dapat diteruskan menerusi jualan dan promosi atas talian.

"Bagi memahirkan kaedah pemasaran secara dalam talian, saya menghadiri latihan keusahawanan di PIK ini. Petugas di sini banyak membantu.

“Saya menggunakan platform perniagaan Facebook, Shopee dan website. Ia baik untuk perniagaan saya," katanya yang menjual makanan berasaskan bakeri dan coklat buatan sendiri.

Hasilnya, jualan yang diperoleh meningkat satu per tiga apabila berjaya mencapai RM9,000 sebulan berbanding hanya kira-kira RM6,000 sebulan.

Seorang lagi pengusaha makanan berasaskan bakeri, Nor Aishah Ismail, 35, jualan produknya meningkat secara drastik apabila berjaya meraih RM2,000 sebulan berbanding hanya RM500 pada sebelum ini.

Nyata platform yang ditawarkan kerajaan ini beri altenatif kepada usahawan untuk meneruskan perniagaan yang sedang diusahakan.

Bagi peniaga bebola ubi, peniagaan yang diwarisi daripada ibunya itu dapat dikekalkan dengan program PIK.

"Apabila berlaku Covid-19 dan penguatkuasaan PKP, saya terpaksa mencari alternatif lain untuk meneruskan perniagaan ini dan PIK adalah pilihan terbaik untuk usahawan kecil seperti kami.

"Saya suka dengan PIK ini kerana ia menyediakan banyak kemudahan seperti komputer, internet yang laju dan stabil selain ada tenaga pengajar ICT," katanya. — Bernama

PIK, PEDi, usahawan,