Kehadiran gajah gemparkan penduduk taman di Ulu Tiram


  • Tular
  • Khamis, 21 Okt 2021

TANGKAP layar gajah yang berkeliaran sebuah taman perumahan di Ulu Tiram, Johor Bahru.

KEHADIRAN dua ekor gajah menggemparkan penduduk apabila dipercayai berkeliaran dari Batu 14 ½ Sungai Tiram ke kawasan belakang Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), dengan melintasi Taman Perumahan Bandar Tiram, Ulu Tiram, Johor Bahru.

Kehadiran mamalia itu dirakam pengguna jalan raya serta perkongsian rakaman kamera litar tertutup (CCTV), sebelum tular di laman Facebook sejak Rabu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian yang tular itu berlaku.

"Menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor Bahru, mereka mendapat makluman daripada orang awam berkaitan gajah berkenaan pada 8.30 pagi.

"Bagaimanapun setakat ini, polis tidak menerima sebarang laporan mengenai kerosakan harta benda awam mahupun kemalangan jiwa di kawasan berkenaan.

"Orang awam dinasihatkan jika mempunyai sebarang makluman mengenai kejadian gajah liar ini segera memaklumkan kepada pihak polis berhampiran atau menghubungi Jabatan Perhilitan Johor Bahru," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

gajah, Ulu Tiram, PDRM