SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) perlu mengelakkan aktiviti atau amalan ‘norma lama’ pilihan raya seperti kempen rumah ke rumah, perhimpunan dan ceramah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
Presidennya, MMA Dr Koh Kar Chai berkata amalan kempen secara maya boleh dijalankan dan mengelakkan adanya aktiviti kempen secara fizikal.
"Demi kepentingan kesihatan dan keselamatan rakyat, 'kebiasaan lama' kempen politik yang melibatkan lawatan dari rumah ke rumah, perjumpaan dan ceramah harus dielakkan.
"Kita mungkin berada dalam fasa pemulihan tapi kita masih belum bebas daripada wabak ini, oleh itu platform digital atau maya harus digunakan untuk berkempen bagi mencegah peningkatan kes COVID-19,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dr Koh berkata jika pemimpin politik benar-benar memikirkan kepentingan rakyat, mereka sepatutnya memilih jalan untuk berkempen dengan selamat dan tidak mendedahkan rakyat kepada risiko Covid-19.
Beliau turut menegaskan bahawa pemimpin politik juga sepatutnya menyesuaikan diri dengan norma baharu dan berkempen secara maya.
"Ini bukan kerana kita sudah mempunyai kadar vaksinasi tinggi melebihi 90 peratus, Covid-19 masih menular bahkan ada yang sudah divaksin sepenuhnya masih dijangkiti dan menjangkiti individu berisiko tinggi dan tidak divaksinasi termasuk kanak-kanak bawah 12 tahun,” katanya.
PRN Melaka ditetapkan pada 20 November dengan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya berkenaan pada 8 November dan pengundian awal pada 16 November.
PRN diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 4 Oktober lepas susulan tindakan beberapa wakil rakyat menarik sokongan kepada kerajaan negeri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram