Ditolak jadi calon, Norhizam tunggu keputusan PH


  • Politik
  • Rabu, 20 Okt 2021

NORHIZAM mengulas tentang status kononnya dia ditolak menjadi calon PH.
BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, keputusan sama ada beliau dicalonkan atau tidak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bergantung kepada keputusan bersama Pakatan Harapan (PH) kelak.

Beliau berkata, kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam laman Facebook pemimpin parti itu pada Rabu yang menolak beliau sebagai calon PH pada PRN itu adalah pendapat parti tersebut semata-mata.

"Itu hanya pendapat DAP, kita nantikan keputusan PH," katanya menerusi aplikasi WhatsApp ketika dihubungi pada Rabu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Norhizam yang bertanding atas tiket DAP, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Chua Lian Chye dan calon PAS, Ramli Dalip dengan majoriti 2,756 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal 16 November.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat bekas Adun berkenaan ialah Norhizam, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram