ANGGOTA Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Melaka, Mohd Diya Che Jusoh, 46, yang lemas selepas rebah ke dalam air banjir di Kampung Sungai Putat, Ayer Keroh petang Rabu, meninggal dunia awal pagi Khamis.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Abu Bakar Katain berkata, mangsa, meninggal dunia pada pukul 3.11 pagi di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Melaka.
Katanya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid An-Nur, Krubong pada 10 pagi (Khamis).
"Warga JBPM Melaka merakamkan ucapan takziah dan amat berdukacita atas insiden tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada Khamis.
Terdahulu Mohd Diya, dipercayai rebah secara tiba-tiba ke dalam air banjir berarus deras separas dada orang dewasa semasa sedang memasang tali di kawasan banjir bagi membantu penduduk kampung keluar dari kediaman masing-masing.
Kejadian yang berlaku kira-kira 5.30 petang Rabu itu disedari anggota bomba lain yang turut berada di situ dan mengambil masa hampir 10 minit untuk menyelamatkan mangsa ke tempat selamat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram