SEORANG pendaki warga tempatan ditemukan meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung di Gunung Lambak dekat Kluang, Johor tengah hari Selasa.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II, Norhakim Nordin berkata, mangsa Teo Chee Kiong @ Tiu Chee Kiong, 52, yang mendaki seorang diri, dipercayai mengalami serangan jantung ketika dalam perjalanan turun dan dijumpai orang ramai dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Beliau berkata, sejurus menerima panggilan pada pukul 12.25 tengah hari, seramai 11 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan di tempat kejadian, dipercayai mengalami serangan jantung,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, mayat Teo dibawa turun dari puncak gunung dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. — Majoriti