SEORANG anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Tengah tidak sedarkan diri selepas rebah ke dalam air banjir semasa operasi menyelamat mangsa banjir di Kampung Sungai Putat, Ayer Keroh, pada kira-kira 5.30 petang tadi.
Dalam kejadian tersebut, Mohd Diya Che Jusoh, 46, dipercayai sedang memasang tali di kawasan banjir bagi membantu penduduk kampung keluar dari kediaman masing-masing.
Mangsa dipercayai rebah secara tiba-tiba ke dalam air banjir berarus deras separas dada orang dewasa, namun disedari anggota bomba lain yang turut berada di situ dan mengambil masa hampir 10 minit untuk menyelamatkan mangsa ke tempat selamat.
Pengarah JBPM Melaka, Penolong Pesurujaya Abu Bakar Katain mengesahkan kejadian tersebut dan Mohd Diya kini sedang dirawat di Hospital Melaka.
''Buat masa ini beliau masih tidak sedarkan diri dan telah dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan dengan menaiki jentera Unit Bantuan Perkhidmatan kecemasan (EMRS) BBP Melaka Tengah,'' katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, hujan lebat berterusan yang melanda beberapa negeri di pantai barat sejak awal Rabu mengakibatkan beberapa kawasan mengalami banjir kilat.
Di Melaka, sebanyak 36 lokasi di tiga daerah dilanda banjir kilat dengan melibatkan 20 lokasi di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah (sembilan) dan Jasin (tujuh).
Sementara itu, di Negeri Sembilan, lapan kampung di Rembau dilanda banjir kilat disebabkan limpahan air dari beberapa sungai ekoran hujan lebat berterusan.
Banjir kilat itu membabitkan Kampung Tanjung Sena Hilir, Kampung Sungai Ibor, Kampung Minching, Kampung Paya Besar, Kampung Merbau 9, Kampung Sungai Batu, Kampung Raden dan Kampung Pulau Besar.
Di Selangor pula, tiga kawasan di daerah Klang dilanda banjir kilat iaitu berhampiran Jusco Bukit Raja di Persiaran Bukit Raja 2; Lorong Emas 2 Taman Melawis dan sekitar Jalan 3 Off, Jalan Mohd Yamin, di Klang. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram