Mercedes, BMW 'terapung' akibat banjir kilat di Klang


  • 112
  • Rabu, 20 Okt 2021

KEADAAN kereta Mercedes Benz yang ditenggelami air angkara banjir kilat yang melanda Klang pada petang Rabu. — Ihsan Bomba

DUA kereta mewah termasuk Mercedes Benz dan BMW antara lima kenderaan yang 'tenggelam' dalam kejadian banjir kilat yang melanda tiga kawasan di daerah Klang, Selangor pada petang Rabu.

Pada masa sama, sekurang-kurangnya 31 orang termasuk tujuh kanak-kanak terjejas dalam kejadian banjir kilat yang melanda tiga kawasan di daerah Klang, Selangor pada petang Rabu.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, mangsa yang lain adalah 22 orang dewasa dan dua warga emas.

"Kita sedang berurusan dengan pejabat daerah untuk urusan pembukaan pusat pemindahan," katanya kepada Majoriti pada Rabu.

KEADAAN mangsa yang terjejas di Jalan Mohd. Yamin, Klang. — Ihsan Bomba



Norazam berkata, limpahan sungai susulan hujan lebat menyebabkan Jalan Persekutuan dari arah Klang ke Kuala Lumpur berhampiran pasar raya besar Jusco Bukit Raja dinaiki air setinggi 1.2 meter dengan lima buah kereta terkandas.

Menurutnya, kejadian banjir yang membabitkan tiga kawasan di Klang itu turut melibatkan 16 buah rumah di Jalan Mohd. Yamin yang digenangi air setinggi 1.8 meter.

“Kita telah mengarahkan pemandu kenderaan terlibat keluar daripada kereta masing-masing ke tempat selamat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya, operasi menyelamat di tiga buah kawasan itu melibatkan 20 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Kota Raja dan Pelabuhan Klang serta Banting. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram