PRN Melaka bercanggah dengan perjanjian MoU Kerajaan-Pembangkang


  • Politik
  • Ahad, 17 Okt 2021

HASSAN memberitahu, penangguhan PRN Melaka selaras persetujuan MoU untuk tidak melaksanakan pilihan raya sehingga 31 Julai 2022. — Bernama,

PELAKSANAAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bermaksud melanggar melanggar perjanjian dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim.

Menurut beliau, perkara itu digariskan dalam MoU yang dimenterai pada 13 September lalu.

"Ia merupakan antara perkara utama yang sudah dimeterai iaitu persetujuan untuk tidak melaksanakan pilihan raya sehingga 31 Julai 2022.

"Lebih baik lakukan pengisytiharan darurat di negeri itu yang akan memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak lama lagi," katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan Persekutuan perlu bertanggungjawab dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob wajar memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di Melaka.

Beliau berkata demikian selepas melawat rumah terbengkalai di Taman Seri Molek Perdana, Plentong, Johor pada Ahad.

Jelasnya lagi, keputusan untuk tidak mengadakan PRN di Sarawak sebelum ini perlu dicontohi kerana terbukti langkah tepat kerana negeri tersebut dapat menumpukan usaha memerangi Covid-19.

"Mengadakan PRN di Melaka akan menyebabkan penyebaran Covid-19 di seluruh negara.

"Bila PRN semua orang akan datang kerana sudah boleh rentas negeri untuk berkempen," ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor itu turut memberitahu semua pihak perlu bersabar kerana Pilihan Raya Umum ke-15 akan diadakan tahun depan.

"Jangan biarkan jentera-jentera parti berperang di Melaka.

"Tunggu sahaja tahun depan dan ketika itu PRN Melaka atau PRN Sarawak boleh diadakan serentak," tegasnya lagi.

Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) memuktamadkan MoU itu yang merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran, Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia MA63 dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Terdahulu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid pada Sabtu berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO belum membuat keputusan sama ada bergerak secara solo atau bekerjasama dengan parti lain bagi menghadapi PRN Melaka.

Sementara itu pada hari sama, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin turut memaklumkan, PN akan menggunakan strategi mereka jika UMNO enggan bekerjasama untuk menghadapi PRN Melaka. — Sinar Harian

PRN Melaka, Hassan Karim, Tangguh, MoU, PPN