CADANGAN untuk meningkatkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.50 sekilogram kepada RM3.50 sekilogram akan dapat mengelakkan pekebun kecil getah beralih ke tanaman komoditi lain.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, jika harga komoditi itu masih di tahap lama, pekebun kecil getah akan beralih ke tanaman komoditi lain yang harganya lebih tinggi terutama kelapa sawit.
"Bila ada perbandingan antara harga getah dan kelapa sawit, banyak pekebun kecil telah pergi tanam kelapa sawit kerana harga getah itu (lebih rendah), sebab itu saya menyokong harga lantai getah dapat ditingkatkan.
"Walaupun ia agak sukar kita mesti mencari jalan, kalau tidak harga lantai itu rendah dan mereka akan beralih ke tanaman kelapa sawit," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat Kilang Getah SMR Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) di Tamparuli, Tuaran pada Selasa.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.
Media pada Jumaat melaporkan, kerajaan diminta mempertimbangkan supaya menaikkan harga lantai getah sekerap kepada RM3.50 sekilogram mulai Januari tahun hadapan bagi membantu lebih ramai penoreh getah keluar daripada garis kemiskinan.
Tambah Mahdzir, jika senario pekebun kecil getah beralih ke tanaman lain secara berterusan, negara akan kehilangan penghasil komoditi getah.
Selain harga lantai, ruang lebih luas untuk menjual hasil getah dan meluaskan kawasan tanaman getah merupakan dua lagi perkara penting bagi membantu pekebun kecil getah meningkatkan pengeluaran sekaligus dapat meningkatkan tahap sosio-ekonomi mereka.
Mengenai LIGS, Mahdzir berkata, agensi Kerajaan negeri Sabah itu memainkan peranan membantu 80,000 pekebun kecil getah di Sabah yang turut memberikan ruang untuk menjual hasil getah.
Ketika ini, LIGS mempunyai tiga kilang pemprosesan getah iaitu di Tamparuli, Tenom dan Beufort.
"Kilang di Tamparuli ini mempunyai 300 pekerja dan mereka punyai kapasiti memperoses getah 150 tan sehari proses getah, dan 50,000 tan setahun...produk ini selain untuk pasaran tempatan juga dieksport ke luar negara antaranya China untuk pembuatan produk seperti tayar," katanya. — Majoriti