Umno hargai kesetiaan, semangat juang tinggi ahli parti


  • Politik
  • Isnin, 18 Okt 2021

Mahdzir memberitahu ahli-ahli Umno juga tidak perlu lagi malu untuk memakai baju berwarna merah yang melambangkan parti atau mengaku diri sebagai ahli.

TUNJANG kekuatan Umno adalah ahli-ahlinya di peringkat akar umbi yang tidak mengalah biarpun diuji dengan situasi kehilangan beberapa pemimpinnya, kata Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menurut beliau, Umno amat menghargai ahli-ahlinya yang setia dan terus kekal bersama dalam perjuangan parti itu.

"Pada tahun 2018 apabila sebahagian daripada rakan-rakan kita dalam Umno di peringkat kepimpinan telah keluar daripada parti ini, saya tak kisah mereka hendak pergi ke mana.

"Tetapi yang hendak saya nyatakan bukan ke mana mereka pergi, yang saya hendak nyatakan semangat Ahli Cawangan, semangat Ketua Cawangan, semangat Ketua Wanita, Pemuda, Puteri dan kepimpinan Bahagian yang terus berjuang walaupun sudah tahu kita kalah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Cawangan Umno Berkelompok DUN Bengkoka dan Pitas di Pejabat Umno Bahagian Kudat di Kudat, Sabah pada Isnin.

Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar turut menambah, ahli-ahli yang setia kepada parti itulah yang telah meneruskan kelangsungan Umno di seluruh negara.

Katanya lagi, ahli-ahli Umno juga tidak perlu lagi malu untuk memakai baju berwarna merah yang melambangkan parti atau mengaku diri sebagai ahli.

"Dalam tempoh 22 bulan menjadi pembangkang, Umno katanya tidak punya apa-apa dan menghadapi pelbagai ujian seperti Pilihanraya Kecil DUN dan juga Pilihanraya Negeri Sabah.

"Datuk Seri Bung diuji pada waktu itu kerana ada Pilihan Raya Kecil Kimanis, panggil kawan-kawan seluruh Sabah, sekarang kita mahu pilihan raya Kimanis, kita pembangkang, kita mahu himpunkan jentera, jentera pun kurang pengalaman," ujarnya.

Tambah Mahdzir lagi, kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri Sabah telah meletakkan semula Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagai peneraju kerajaan negeri itu.

Jelasnya, dari Perlis sampai ke Sabah, Umno sebuah parti yang ada strukturnya di semua peringkat.

'Kita kena terus kuatkan parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti, kekuatan Umno ada di akar umbi. Kita hanya nak menang pilihanraya dan kembalikan agenda membangunkan negara.

"Elakkanlah sikap keluar parti dalam Umno dan marilah kita sama-sama bersolidariti untuk meneruskan agenda perjuangan parti," jelasnya. — Majoriti

Mahdzir Khalid, Umno, BN, PRK, PRN, PRU, ahli, berjuang