
PEMAIN sayap Arsenal, Nicolas Pepe bergelut untuk mencari minit bermain kerana prestasi yang tidak konsisten serta dikhabarkan bakal meninggalkan kelab tersebut pada jendela perpindahan pemain kembali dibuka Januari depan.
Kini, sudah lebih dua tahun sejak Pepe membarisi kesebelasan utama Arsenal buat kali pertama sewaktu menentang Liverpool.
Rekod bayaran perpindahan 72 juta pound (RM405 juta) menunjukkan sekilas kualitinya semasa menjadi pemain gantian dalam dua perlawanan awal ketika menentang Newcastle United serta Burnley sebelum Unai Emery meletakkannya dalam kesebelasan utama di Anfield pada 24 Ogos 2019.
Namun selepas itu, keadaan tidak berjalan mengikut perancangan Pepe di Utara London.
Pepe hanya membarisi kesebelasan utama sebanyak lima kali daripada 11 penampilan Arsenal di Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim ini. Bahkan, dia hanya bermain sekali untuk kesebelasan utama dalam enam perlawanan terakhir.
Bekas bintang Lille itu kini mendapat tempatnya semula di bawah pengurus Mikel Arteta. Namun tampak sukar untuk melihat sama ada Pepe mendapat banyak peluang dalam corak formasi 4-4-2 yang digunakan Arsenal ketika ini.
Memandangkan kontraknya hanya berbaki dua tahun lagi, ia menimbulkan persoalan tentang masa depan Pepe di Emirates.
"Dia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri. Tetapi situasi itu sudah berlalu.
"Kami tidak boleh menunggu dia menyesuaikan diri lagi kerana sekarang ini semuanya tentang prestasi dan dia boleh melakukannya.
"Pepe memiliki rakan sepasukan yang menyokongnya dan jurulatih yang percaya kepadanya. Dia mempunyai semua kakitangan yang bersedia membantunya dan semua rakan sepasukan sangat menyukainya kerana dia adalah watak yang hebat, sangat disukai. Jadi tiada alasan," kata Arteta seperti dipetik portal Goal.
ARTETA menegaskan Pepe perlu menunjukkan prestasi yang baik. — Reuters
Tidak dinafikan Pepe boleh menjadi pemain yang berbakat besar. Namun kekurangan konsistensi bermain di Utara London menyebabkan kualiti Pepe diragui.
Dia bermula perlahan sebelum memainkan peranan penting dalam kejayaan Arsenal menjuarai Piala FA 2019/2020 dan mengakhiri musim pertamanya di England dengan lapan gol dan 10 bantuan hantaran dalam semua kejohanan.
Hanya Pierre-Emerick Aubameyang dan Alexandre Lacazette yang menyumbang lebih banyak gol daripada Pepe ketika itu.
Musim keduanya lebih baik. Penyerang tersebut mencetak 16 gol dalam 47 penampilan. Dia juga menyumbang lima bantuan hantaran.
Cuma, masalah besar bagi Pepe adalah dia tidak mampu menunjukkan prestasi yang baik musim lalu. Dia juga hanya mencetak satu gol dalam sembilan penampilan di semua kejohanan setakat ini dan belum menjaringkan sebarang gol dalam EPL.
Kini, posisinya sangat terancam dengan kehadiran Emile Smith Rowe dan Bukayo Saka.
SAKA (kiri) dan Smith Rowe menjadi pilihan utama berbanding Pepe. — Reuters
Musim lalu, Arsenal bermain dalam Liga Europa (UEL) tetapi memandangkan kelab tersebut tidak berada dalam saingan berkenaan musim ini, peluang Pepe untuk bermain menjadi tipis.
Situasi itu menimbulkan spekulasi bahawa Arsenal bersedia untuk melepaskan Pepe Januari nanti. Newcastle, Crystal Palace dan Everton disebut-sebut sebagai destinasi seterusnya bagi pemain berkenaan.
Masalah besar bagi Arsenal adalah jika pemain sayap tersebut berpindah, mereka harus menerima hakikat untuk menjualnya pada harga lebih rendah.
Semakin lama dia disisihkan daripada kesebelasan utama, nilainya akan merosot, terutamanya jika dia memasuki dua tahun terakhir kontraknya.
Malahan, sekiranya ada kelab berminat untuk mendapatkan pada Januari kelak atau penghujung musim, gaji Pepe yang dipercayai sekitar 140,000 pound (RM787,459) seminggu akan menyukarkan kelab lain untuk mendapatkan khidmatnya.
The Gunners terpaksa membuat beberapa keputusan sukar dalam dua tahun kebelakangan ini kerana Arteta dan Pengarah Teknikal, Edu Gaspar memulakan rombakan dramatik dengan beberapa nama besar dijual. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram