Cerita dongeng kami jadi kenyataan — Wan Rohaimi


  • Podium
  • Selasa, 19 Okt 2021

WAN Rohaimi (kanan) mengatakan keharmonian dalam pasukan Terengganu pada musim 2001 menjadi elemen terpenting kepada kejayaan julang Piala Malaysia.

AKSI peringkat kumpulan Piala Malaysia sudah pun berlangsung dua perlawanan awal dengan beberapa kejutan dilakar.

Daripada senarai pasukan yang bertanding, tidak boleh dinafikan ada pasukan miliki kelebihan dengan dipenuhi deretan bintang dan ada juga yang sekadar mempertaruhkan pemain muda.

Secara atas kertas, semuanya akan lebih condong kepada pasukan yang memiliki pemain ternama namun sejarah pernah membuktikan yang pertandingan ini sentiasa menjanjikan unsur luar jangka.

Ketika pertandingan musim ini memasuki tahun ke-100, agak menarik untuk menjadikan Terengganu sebagai contoh terbaik ketika wakil Pantai Timur itu menjuarai Piala Malaysia edisi 2001.

Menceritakan semula pengalaman ketika itu, bekas tonggak skuad Peteh pada 2001, Wan Rohaimi Wan Ismail terpaksa akui yang dia cukup puas untuk membantu pasukan muncul juara ketika mungkin ramai yang tidak meletakkan harapan.

“Ketika itu timbul cerita pasukan dua darjat kerana semua orang maklum yang Perak ketika itu dibarisi ramai bintang dan dijanjikan bonus lumayan.

“Sedangkan kami hanya pasukan kecil dengan bajet yang kurang malah hanya dibarisi pemain yang sedang meningkat naik.

“Kami ketika itu ada keakraban luar biasa, keharmonian tinggi hingga bawa kejayaan. Keharmonian itu sebenarnya lebih penting daripada ada barisan bintang-bintang,” katanya.

Dalam aksi final yang dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Terengganu menang 2-1 ke atas Perak.

Menceritakan semula pengalamannya ketika itu, Wan Rohaimi yang kini menggalas jawatan Ketua Jurulatih PDRM FC akui seluruh pasukan Terengganu ketika itu membawa misi besar untuk cuba balas dendam terhadap Perak yang menang pada final 1998.

“Tekanan memang dirasai kerana penyokong mahu lihat kami balas dendam kepada Perak yang menewaskan Terengganu pada final 1998.

“Piala Malaysia ada aura berbeza berbanding Piala FA atau pun piala liga. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Cerita dongeng kami jadi kenyataan.

“Hingga saya bersara pada 2011, itulah satu-satunya peluang untuk rasai julang Piala Malaysia dan ia akan jadi kenangan,” katanya. — Majoriti

Piala Malaysia, Wan Rohaimi, Terengganu