PH tidak setuju hanya individu lengkap vaksin boleh mengundi


  • Politik
  • Isnin, 18 Okt 2021

PH juga tidak bersetuju PRN Melaka dilaksanakan buat masa ini.

PAKATAN Harapan tidak setuju jika hanya individu yang lengkap dua dos sahaja yang dibenarkan untuk mengundi di Pilhan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Perkara itu dimaklumkan parti itu dalam satu kenyataan pada Isnin yang kesal dengan kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilhanraya Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh.

Katanya tindakan tersebut berkemungkinan melanggar Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan berhubung kelayakan pemilih.

"Sungguhpun Pakatan Harapan menyokong penuh usaha pemberian vaksinasi kepada semua, ia tidak boleh dijadikan alasan tindakan diskriminasi ke atas mereka yang belum lengkap dua dos.

"Tindakan menghalang ini berkemungkinan tidak sah dari segi undang-undang. Kami menggesa pihak SPR untuk mengkaji semula pendirian silap ini," katanya.

Tambahnya lagi, semua warganegara yang layak menjadi pemilih berdasarkan Perlembagaan Persekutuan boleh keluar mengundi sekiranya PRN Melaka diteruskan.

Sementara itu, PH juga tidak bersetuju PRN dilaksanakan buat masa ini keranan bimbang akan berlakunya gelombang keempat.

"Kami turut risau jika PRN diteruskan, prosedur operasi standard (SOP) berkempen yang akan digunapakai mungkin mewujudkan keadaan yang tidak adil atau berat sebelah bagi sesetengah pihak.

"Walau bagaimanapun, Pakatan Harapan akan meneruskan segala persiapan termasuk kemungkinan menghadapi PRN Melaka," ujarnya.

Bagaimanapun, SPR dalam kenyataan terbaru menafikan vaksinasi lengkap adalah syarat untuk pemilih mengundi pada PRN Melaka seperti dilaporkan oleh beberapa agensi media.

SPR dalam kenyataan memaklumkan SOP Covid-19 bagi pilihan raya itu masih belum dimuktamad.

Menurut SPR, SOP itu akan berpandukan pandangan serta nasihat Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia dari semasa ke semasa.

Terdahulu, SPR dalam satu sidang media mengumumkan 20 Nov sebagai tarikh pengundian bagi PRN Melaka manakala tarikh penamaan calon ditetapkan pada 8 Nov dan pengundian awal pada 16 Nov. — Majoriti

Pakatan Harapan, PRN, Melaka, SPR, Pengundi, vaksin