Pulihkan kesihatan mental dengan cara Islam


  • Mukmin
  • Jumaat, 01 Okt 2021

MENDEKATKAN diri dengan ALLAH mampu membina keyakinan sahsiah seseorang dalam menghadapi setiap cabaran yang mendatang. — Gambar hiasan/Agensi

DALAM Islam, elemen psikologi sangat dititik beratkan, malah kepentingan unsur psikologi ini dipaparkan dengan kefahaman bahawa manusia dicipta daripada dua unsur utama iaitu fizikal dan spiritual.

Manusia memerlukan input untuk setiap elemen iaitu fizikal, intelek, emosi atau rohani dan iman.

Menurut Pakar Psikiatri dan Ketua Jabatan Kulliyyah of Medicine, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr. Ramli Musa, kekosongan dalam satu elemen menyebabkan seseorang itu tidak mampu hidup dengan hala tuju hidup yang jelas dan bermakna.

"Islam mengiktiraf penyakit mental atau penyakit psikiatri yang wujud dan diterangkan dalam perubatan moden.

"Malah, Islam itu bersifat inklusif iaitu menerima ilmu yang dihasilkan melalui kajian saintifik dan penerbitan moden selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam," katanya.

Tambahnya lagi, Islam menyuruh umatnya mendapatkan rawatan apa cara sekalipun selaras dengan landasan ajaran Islam (halal dan toyyiban).

Jelasnya lagi, ia termasuklah rawatan moden di klinik dan hospital atau alternatif yang berpandukan ayat Al Quran dan tiada unsur syirik dan pemujaan jin dan syaitan.

"Hakikatnya rawatan moden menggunakan kaunseling, psikoterapi dan ubat moden juga tergolong dalam rawatan Islam.

"Di samping itu elemen agama seperti mendekatkan diri dengan Allah, kembali melakukan amalan yang disuruh serta meninggalkan cara hidup yang menyesatkan dan melalaikan mampu membina keyakinan sahsiah seseorang dalam menghadapi setiap cabaran yang mendatang dalam dunia ini," ujarnya.

Hurainya lagi, konsep berdoa dan bersolat dapat mendekatkan diri kita dan mententeramkan jiwa yang kosong.

Kongsinya, Terdapat beberapa kaedah Islam yang disarankan yang membantu dalam proses pemulihan.

Ia termasuklah rawatan melalui doa berpandukan ayat Al Quran, terapi bacaan Al Quran untuk penyakit panik, terapi sujud dalam solat serta kaunseling menggunakan nas-nas ajaran hadis, sunnah dan tasawuf.

Menurut buku Imam Al-Ghazali menyatakan; "Akal yang sentiasa mengingati Allah akan melahirkan hati yang mempunyai nur dan dapat mengawal nafsu hingga mempamerkan tingkahlaku yang positif.

"Namun, sebaliknya jika akal yang tidak mengingati Allah maka akan melahirkan hati yang gelap dan wujud nafsu yang tidak terkawal hingga mempamerkan tingkahlaku yang negatif." — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram