Kertas Pandora : Kerajaan terbuka, tak sekat pihak berkuasa ambil tindakan


  • Primer
  • Sabtu, 16 Okt 2021

Ismail Sabri berkata, kerajaan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.
KERAJAAN mengambil sikap terbuka berhubung isu pendedahan Kertas Pandora tanpa menyekat sebarang tindakan daripada pihak berkuasa terhadap individu yang terkait sekiranya dibuktikan bersalah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Negara kita terbuka. Kalau didapati ada kes melibatkan sesiapa, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan.

"Kita serahkan kepada pihak berkuasa dan kita tidak menyekat tindakan daripada pihak berkuasa kepada sesiapa pun.

"Tetapi mesti ada bukti. Jika tiada, tidak bolehlah (ambil tindakan)," katanya dalam sidang media selepas Lawatan Turun Padang Meninjau Penyelenggaraan Lif di Perumahan Awam (PA) Seri Perak, Sentul pada Sabtu.

Terdahulu, ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang bukan sahaja menolak usul membincangkan Kertas Pandora, malah disifatkan ‘peguam bela’ kepada golongan yang menyimpan wang di luar negara.

Beliau mendesak agar usul tersebut dibentang dan dibahaskan, kerana terdapat dakwaan jumlah wang dari Malaysia yang disimpan di luar negara, sudah mencecah ratusan bilion. — Majoriti