Bentuk jawatankuasa siasat skandal Kertas Pandora — Hassan


  • 112
  • Jumaat, 15 Okt 2021

KERTAS Pandora mengandungi 11.9 juta dokumen membabitkan 14 syarikat kewangan di seluruh dunia. — AFP
SEBUAH jawatankuasa siasatan perlu dibentuk untuk menyiasat skandal Kertas Pandora yang membabitkan kira-kira 1,500 rakyat negara ini, gesa Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata, cadangan tersebut perlu melibatkan kerjasaman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pejabat Peguam Negara (AGC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kastam Diraja Malaysia.

"Saya mencadangkan SPRM menyiasat pendedahan Kertas Pandora yang mendakwa antara tahun 2004 hingga 2014 terdapat seramai 1,500 rakyat negara ini menyimpan harta mereka dalam bentuk wang, saham dan modal di pusat-pusat pesisir luar seperti Singapura dan British Virgin Islands.

"Perbuatan terbabit dianggap sebagai 'tax haven' yang tidak dikenakan cukai yang kesemuanya harta rakyat Malaysia itu dapat lari daripada radar sistem percukaian Malaysia, ditafsirkan sebanyak RM1.8 trillion. Satu jumlah yang amat besar," ujarnya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Hassan yang juga ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), beliau turut mencadangkan SPRM serta jawatankuasa penyiasat tersebut untuk mendapatkan kerjasama setiap negara yang terbabit bagi mendapatkan semula wang negara.

"Banyak wang negara yang merupakan harta rakyat dapat dikembalikan ke Perbendaharaan negara sekiranya pendedahan Kertas Pandora disiasat dari akar umbi dan dibawa ke mahkamah," jelas beliau. — Majoriti