'Tak payah pening kepala layan antivaksin, buang masa saja'


  • Massa
  • Selasa, 19 Okt 2021

KEENGGANAN golongan antivaksin untuk tidak mengambil vaksin dilihat tidak memberi kesan terhadap kesihatan masyarakat kerana negara telah mencapai imuniti kelompok. — Bernama
KERAJAAN dinasihatkan supaya tidak pening kepala melayan kerenah golongan antivaksin dan menumpukan segala usaha dan tenaga kepada perkara lain yang lebih penting.

Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Seri Dr Zulkornain Ahmad berkata, cadangan supaya kerajaan pergi bersemuka dan berbicang dengan golongan itu adalah satu perkara yang membuang masa kerana segala usaha yang dilakukan untuk mendidik masyarakat sebelum ini sudah memadai.

"Mereka (antivaksin) ini bukannya orang yang tidak berpelajaran. Ada cikgu, pensyarah dan golongan profesional lain, jadi mereka sepatutnya tahu dan boleh berfikir mengenai manfaat pengambilan vaksin.

"Kalau kita pergi bersemuka pun tak guna kerana walau banyak mana maklumat dan fakta tentang vaksin yang kita terangkan, mereka akan tetap dengan pendirian mereka untuk tidak mengambil vaksin.

"Tak perlulah kita nak pergi menyembah-nyembah mereka untuk berbincang dan sebagainya," katanya kepada Majoriti.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkata, kerajaan seharusnya tidak berlaku sombong terhadap golongan tersebut, sebaliknya mendekati mereka untuk menerangkan tentang fakta mengenai vaksin.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada Sabtu menegaskan, kerajaan akan 'menyusahkan' kehidupan golongan antivaksin jika terus enggan divaksin tanpa sebab yang dibenarkan.

Namun, kata Zulkornain, Khairy sepatutnya tidak menggunakan perkataan 'menyusahkan' kerana ia mungkin dianggap kasar oleh sesetengah pihak.

"Mereka sendiri tahu keputusan yang dilakukan kerajaan menyusahkan mereka, jadi tidak perlu sebut perkataan itu. Nampak macam kita jahat pula," kata beliau.

Tambahnya, kerajaan sudah tidak perlu lagi risau akan golongan yang masih enggan divaksin kerana mereka merupakan golongan minoriti dan jumlah mereka tidak sampai 10 peratus.

Negara kini telahpun mencapai imuniti kelompok apabila jumlah vaksinasi dewasa telah mencapai 90 peratus, dan keengganan golongan berkenaan untuk tidak mengambil vaksin dilihat tidak memberi kesan terhadap kesihatan masyarakat, jelas Zulkornain.

"Kalau mereka tak nak ambil (vaksin) pun tidak mengapa, cuma mereka harus terimalah polisi yang dikuatkuasakan kerajaan terhadap mereka," katanya.