Rapat saf: 'Sesuai di Arab Saudi, belum tentu sesuai di Malaysia'


  • Massa
  • Isnin, 18 Okt 2021

SOP khususnya mengenai aktiviti masjid dan surau termasuk cadangan merapatkan susunan saf ketika solat berjemaah akan dibincangkan. — The Star

LANGKAH merapatkan susunan saf ketika solat berjemaah seperti dilaksanakan di Arab Saudi, belum tentu sesuai dilaksanakan di negara ini, kata Imam Muda Asyraf.

Pendakwah selebriti itu berkata, situasi serta kes Covid-19 di Arab Saudi mungkin berbeza di Malaysia.

"Kalau kita nak merapatkan semula saf pun perlu mengikut situasi di negara masing-masing.

maxresdefault

Imam Muda Asyraf berkata, langkah merapatkan susunan saf ketika solat berjemaah perlu mengikut situasi di negara masing-masing. — Mstar


"Jadi kalau di sini (Malaysia) dah sesuai, maka pihak bertanggungjawab sama ada kerajaan, Jabatan Agama Negeri, KKM (Kementerian Kesihatan), MKN (Majlis Keselamatan Negara) atau pihak Istana sendiri boleh membenarkan perkara itu.

"Tapi kalau tak sesuai, maka pihak berwajib perlu adakan satu perbincangan lebih rapi untuk menilai kesesuaian tersebut." katanya ketika dihubungi pemberita pada Isnin.

Terdahulu, Masjidil Haram di Makkah pada Ahad dibenarkan beroperasi mengikut kapasiti penuh, dengan jemaah menunaikan solat tanpa dibatasi penjarakan fizikal buat pertama kali sejak tercetusnya pandemik Covid-19.

Sebelum ini, isu prosedur operasi standard (SOP) khususnya mengenai aktiviti masjid dan surau termasuk cadangan merapatkan susunan saf ketika solat berjemaah akan dibincangkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, beliau mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya mengatur Muzakarah Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) yang akan diadakan pada Rabu ini.

Sementara itu, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, negara perlu menunggu sedikit masa lagi untuk mengambil langkah merapatkan susunan saf.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia itu berkata, hal ini disebabkan Malaysia masih mencatatkan penularan kes Covid-19 yang tinggi.

President of Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Dato’ Dr. Zainal Ariffin Omar on press conference at International Medical University, Bukit Jalil. FAIHAN GHANI/The Star.

Dr Zainal Ariffin meminta negara menunggu sedikit masa lagi untuk mengambil langkah merapatkan saf ketika solat berjemaah. — The Star

Katanya, pelbagai kelonggaran telah dilaksanakan dalam masa serentak, termasuk kebenaran rentas negeri dan pembukaan semula sekolah rendah secara bersemuka.

"Jadi, kalau ada (penambahan) kes payahlah sikit. Slowly (secara perlahan) mungkin lepas dah buka sekolah dan kes tak banyak, mungkin masa tu bolehlah.

"Lebih baik kita ambil langkah berhati-hati dan bersabar dulu," sarannya. — Majoriti