Langkah bijak tidak tergesa-gesa vaksin kanak-kanak bawah 12 tahun


  • Massa
  • Isnin, 18 Okt 2021

KEPUTUSAN kerajaan untuk menilai dan menunggu data terlebih dahulu sebelum beri suntikan kepada kanak-kanak bawah 12 tahun adalan tepat. — Bernama
KEPUTUSAN kerajaan untuk menunggu kajian terlebih dulu sebelum melaksanakan suntikan vaksin terhadap kanak-kanak bawah 12 tahun dilihat sebagai tepat bagi memastikan bekerkesanan dan keselamatan golongan itu, kata pakar.

Pengasas Persatuan Malaysian Doctors Club (MDC), Dr Muhammad Hakim Nordin berkata, pendekatan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang tidak melakukan keputusan melulu berkaitan perkara itu juga adalah praktikal.

"Tindakan (menunggu data) yang bijak. Mereka (kanak-kanak) adalah golongan berisiko rendah, jadi kenapa kita perlu berikan kepada kanak-kanak kepada sesuatu (vaksinasi) yang kita masih tidak tahu keselamatan dan keberkesanan sepenuhnya lagi.

“Setahu saya, WHO (Pertubuhan Kesihatan Dunia) belum lagi galakkan vaksinasi terhadap kanak-kanak bawah 12 tahun,” katanya.

Beliau berkata, walaupun sudah ada syarikat pengeluar vaksin mengesahkan keselamatan penggunaannya, ia masih bergantung kepada WHO untuk membuktikan bahawa vaksin ini selamat digunakan kepada kanak-kanak di bawah 12 tahun.

Sebelum ini, Khairy menjelaskan yang kementeriannya sudah pun mengadakan rundingan dengan sebuah syarikat pengeluar vaksin Covid-19 untuk menghantar data berkaitan keselamatan dan keberkesanan vaksin kepada kanak-kanak bawah 12 tahun.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Klinikal dan Pakar Perunding Imunologi Kanak-Kanak Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Dr Adli Ali berkata, beliau yakin kerajaan sedang menilai beberapa jenis vaksin untuk dipertimbangkan kepada golongan berkenaan.

Adli merasakan data yang mencukupi akan meningkatkan keyakinan ibu bapa untuk membenarkan anak mereka divaksin.

"Saya percaya kerajaan sedang lihat apa vaksin yang sesuai dan untuk vaksinasi kanak-kanak bawah 12 tahun ini. Mmereka sudah mengambil kira beberapa data termasuk vaksin Sinovac yang sudah mengeluarkan data mengatakan ia selamat digunakan kepada kanak-kanak berumur 6-12 tahun,” katanya.

Pfizer BioNTech juga sudah pun mengeluarkan kenyataan bahawa vaksin itu kini selamat digunakan kepada kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.

Sementara itu, Pakar Mikrobiologi Klinikal Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed berkata, adalah menjadi keputusan yang sukar untuk memberi vaksin kepada kanak-kanak.

Dr Nurul Azmawati menegaskan, jika ujian klinikal mengesahkan vaksin kepada golongan itu selamar dan berkesan, laporan ujian perlu dikaji oleh pakar di peringkat WHO dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). — Bernama

vaksin, kanak-kanak, imuniti, KKM, pakar