Tunggu keputusan muzakarah SOP baharu masjid, surau — Mufti


  • Massa
  • Isnin, 18 Okt 2021

LUQMAN mengulas tentang SOP baharu bagi aktivit masjid dan surau. — Twitter
MASYARAKAT diminta bersabar dan menunggu keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) yang akan membincangkan isu prosedur operasi standard (SOP) mengenai aktiviti masjid dan surau termasuk cadangan merapatkan susunan saf ketika solat berjemaah.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah berkata, ini kerana perkara yang diputuskan dalam mesyuarat itu perlu dilakukan mengikut tertib dan berhemah.

"Apapun kita tunggu terlebih dahulu keputusan muzakarah yang akan bersidang Rabu bagi membincangkan SOP mengenai aktiviti masjid dan surau, termasuk cadangan merapatkan susunan saf ketika solat berjemaah," katanya kepada Majoriti.

Mengikut aturan, keputusan yang diputuskan dalam muzakarah perlu dihantar kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Ia kemudian akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja untuk mendapat perkenan baginda.

Sebaik mendapat perkenan dan persetujuan barulah perkara itu diuar-uarkan kepada masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad pada Isnin berkata, beliau percaya suatu keputusan demi kemaslahatan umum akan dapat dicapai menerusi muzakarah itu.

Beliau juga berharap aktiviti masjid dan surau khususnya solat berjemaah seperti sediakala akan dibenarkan dengan SOP tertentu.

Idris juga telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia supaya mengatur MKI pada Rabu ini.

Menurutnya, semua ahli muzakarah terdiri daripada mufti-mufti negeri dan ahli-ahli yang dilantik dalam kalangan pakar dijemput hadir.

“Pihak Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara juga dijemput dalam muzakarah ini,” katanya. — Majoriti