'Siang hari pun berani buat kerja'


  • Tular
  • Selasa, 19 Okt 2021

TANGKAP layar menunjukkan suspek memanjat pagar untuk keluar daripada kawasan rumah yang dimasukinya
TIDAK dapat dinafikan kes kecurian sentiasa berlaku di seluruh negara, sama ada berjaya dikesan pihak berkuasa atau pun sebaliknya.

Mungkin juga faktor pandemik yang mendorong pelaku bertindak luar batas hingga sanggup mencuri, meragut atau pun pecah rumah.

Makin hari makin banyak netizen dihidangkan dengan cerita seperti ini dan terbaharu, satu video tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki memasuki kawasan pagar sebuah rumah.

Menerusi perkongsian page Info Kemalangan Jalan Raya, individu yang berkongsi, Hafiz Aziz turut menyertakan sekali kapsyen “Siang punya kije (kerja) pon (pun) jadi. Lokasi dikatakan di Taman Paya Rumput Indah, Melaka”.

Menerusi video itu dapat dilihat seorang lelaki bertopi keledar dan memakai baju berwarna merah jambu sedang berada dalam kawasan pagar rumah tidak dikenali.

Menerusi perkongsian itu, lelaki berkenaan dikatakan sudah pun mengambil sport rim motosikal milik tuan rumah.

“Asal (kenapa) tak x panjat? Rumah siapa?,” soal perakam sambil menghalakan kepada suspek yang masih berada dalam pagar rumah.

Bagaimanapun, jawapan diberikan suspek tidak jelas sebelum dilihat memanjat pagar untuk keluar.

Tidak dapat dipastikan adakah kejadian ini sudah sampai ke pengetahuan pihak berkuasa atau pun sebaliknya. — Majoriti

panjat pagar, sport rim, pecah masuk