PENAMPAKAN 'hantu wanita' yang membawa batu nisan sehingga mengganggu orang ramai, dipercayai di Jalan Genting, Kuala Lumpur akhirnya terbongkar pada Ahad.
Menerusi perkongsian video di laman Facebook, sekumpulan lelaki mendapat laporan dan membongkar identiti ‘hantu’ yang menganggu pengguna jalan raya di kawasan tersebut.
Berdasarkan video berdurasi lapan minit 20 saat di itu, sekumpulan lelaki berkenaan sedang mengejar ‘hantu’ itu sambil membaca ayat-ayat suci Al-Quran sehingga individu itu berhenti.
Menurut perakam video itu, ‘entiti’ itu merupakan seorang pemuda yang memegang batu nisan dan didakwa menuntut ilmu persilatan yang salah.
Kira-kira hampir tiga minit mengekori 'entiti' itu, seorang daripada kumpulan lelaki berkenaan menghampirinya menggunakan motor dan 'entiti' itu kemudiannya berhenti.
Selepas diarahkan berhenti ke tepi, 'entiti' itu kemudiannya jatuh menggelupur apabila mendengar ayat suci Al-Quran yang dibacakan perakam video itu.
Kemudian keadaan cemas seketika apabila beberapa lelaki tampil menenangkan 'entiti' tersebut.
Selepas beberapa minit, entiti yang mengakui namanya sebagai Khairul ditenangkan kumpulan lelaki itu.
Apabila ditanya tentang batu nisan itu, Khairul mendakwa ia bukan miliknya selain tidak mengetahui sebab dia berada di lokasi kejadian ketika ditanya sekumpulan lelaki itu
Selepas itu, dia mengeluarkan beberapa barang dalam beg galas yang dibawanya.
Tidak dapat dipastikan sama ada lelaki itu benar-benar dirasuk atau sekadar berlakon. — Majoriti