Kecoh kondo belum siap dijilat api


  • Tular
  • Isnin, 18 Okt 2021

TANGKAP layar video kebakaran yang menunjukkan sebuah kondominium dalam pembinaan di ibu kota yang terbakar pada Isnin. — Facebook

SEBUAH kondominium dalam pembinaan yang dikatakan berlokasi di PV9 Residences berhampiran Setapak, Kuala Lumpur dilaporkan terbakar pada Isnin.

Insiden tersebut sempat dirakam oleh orang awam yang berada di sekitar kawasan itu.

Daripada video yang dimuatnaik oleh Warga Wangsa Maju di Facebook, kelihatan api sedang marak di bahagian bawah kondominium berkenaan.

Menurut netizen di ruangan komen, kebakaran telah berjaya dipadamkan oleh pihak bomba yang berada di lokasi.

Pihak Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju menerusi Facebooknya mengesahkan, pihaknya telah pergi ke lokasi bagi memadamkan kebakaran tersebut dan api telah berjaya dikawal.

Pihaknya turut berkongsi rakaman insiden itu dari sudut berbeza serta beberapa gambar selepas kebakaran berjaya dipadamkan.

Namun, masih belum terdapat sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan pihak berkuasa mengenai punca sebenar insiden. — Majoriti