KEGAGALAN seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) warga Singapura melaporkan kepada kepada Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM) tentang sogokan bernilai RM33,850 menyebabkan dia didenda RM145,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan pada Isnin.
Tertuduh, Cheung Wing Shing, 60 yang menerima sogokan itu sejak dua tahun lepas, membuat pengakuan bersalah atas dua pertuduhan pilihan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.
Ahmad Zamzani memerintahkan hukuman penjara selama 16 bulan jika tertuduh yang bekerja di syarikat rangkaian restoran gagal menjelaskan denda tersebut.
Tertuduh membayar denda tersebut.
Mengikut kertas pertuduhan, Wing Shing didakwa gagal melaporkan sogokan bernilai RM26,850 yang diterimanya pada 23 Julai 2019 dan RM7,000 pada 14 Jan 2021.
Kedua-dua sogokan itu dimasukkan ke dalam akaun syarikat berkaitan dirinya menerusi pemindahan wang dalam talian di sebuah bank di Genting Highlands.
Wang tersebut didakwa diterima daripada dua syarikat kontraktor sebagai bayaran kepada tertuduh kerana melantik mereka untuk melaksanakan kerja pengubahsuaian dan pembekalan peralatan dapur di restoran bawah kendalian tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding itu, peguam Datuk Joshua Kevin merayu mahkamah tidak mengenakan hukuman berat terhadap anak guamnya.
Katanya, tertuduh telah memberi kerjasama kepada SPRM dan mengaku bersalah pada kali pertama dihadapkan ke mahkamah.
"Kewangan tertuduh juga terkesan akibat pandemik Covid-19, selain tertuduh juga berjanji tidak akan mengulangi kesilapan ini yang merupakan kesalahan kali pertamanya," katanya.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin pula memohon hukuman berat dikenakan.
Ia bagi menunjukkan SPRM tegas membanteras jenayah rasuah bagi menangani persepsi pihak luar termasuk tohmahan di laman sosial yang mempersoalkan keseriusan suruhanjaya tersebut. — Majoriti