Bekas guru tadika mengaku tidak bersalah cederakan kanak-kanak enam tahun


MAHKAMAH membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin.
SEORANG bekas guru tadika mengakui tidak bersalah atas tuduhan menyebabkan kecederaan ke atas kanak-kanak lelaki hingga meninggalkan kesan lebam pada kedua-dua bahu, bulan lalu.

Tertuduh, Loh Ke Xuan, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhannya dibacakan di hadapan Hakim Nor Hasniah Ab Razak di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub manakala Loh diwakili peguam Sarah Wong.

Mengikut kertas pertuduhan, Ke Xuan didakwa melakukan perbuatan itu terhadap kanak-kanak lelaki berumur enam tahun 11 bulan di salah sebuah tadika di Jalan Sri Hartamas 2 antara 8 pagi hingga 5.30 petang pada 2 September lalu.

Ke Xuan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai serta menetapkan 24 November ini untuk sebutan semula kes. — Bernama

mahkamah, bekas guru, Loh Ke Xuan, dera, pukul