Kerajaan kaji model undang-undang antilompat parti negara luar


  • Primer
  • Isnin, 18 Okt 2021

WAN Junaidi memberitahu bahawa kerajaan juga memastikan kepercayaan rakyat yang memberi undi akan dijaga sebaiknya.

KERAJAAN komited untuk memastikan undang-undang berkaitan anti-lompat parti yang akan digubal dapat melindungi hak rakyat di negara ini.

Perkara itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan juga sedang mengkaji undang-undang yang digunakan di peringkat negeri termasuk kes mahkamah yang berlaku di beberapa negeri.

Katanya, ia juga melibatkan pelaksanaan perundangan berkaitan lompat parti.

"Kita turut meneliti model perundangan beberapa negara seperti India, Singapura, New Zealand dan United Kingdom melibatkan peruntukan undang-udang lompat parti.

"Dapatan daripada kajian ini akan dibincangkan melalui sesi libat urus bipartisan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara, Kuala Lumpur pada Isnin.

Wan Junaidi juga menjawab pertanyaan Senator N. Balasubramaniam yang ingin tahu sejauh mana kesediaan kerajaan untuk mewujudkan undang-undang antilompat parti.

Katanya lagi, kerajaan akan menjaga kepercayaan yang diberikan oleh rakyat yang mengundi serta memberi kepercayaan tinggi kepada ahli politik ketika proses pilihan raya.

"Kami akan memastikan sesi libat urus yang menyeluruh diadakan bersama pihak berkepentingan, badan bukan kerajaan, ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta rakyat.

"Ia bertujuan agar rang undang-undang baharu yang diperkenalkan mendapat sokongan semua pihak," ujarnya.

Sementara itu, Wan Junaidi turut menjawab soalan tambahan Senator Datuk A. Kesavadas.

Kesavadas mengajukan pertanyaan mengenai bentuk libat urus yang sedang dilakukan oleh kerajaan dengan pakar-pakar perundangan negara luar bagi memuktamadkan inti pati undang-undang antilompat parti,

"Setakat ini tiada keperluan untuk mengadakan libat urus dengan pakar perundangan luar negara.

"Saya cukup yakin pihak kementerian saya dan juga Peguam Negara mempunyai cukup kepakaran selain daripada peguam-peguam kita di seluruh negara, maka keperluan libat urus dengan pakar undang-undang luar negara tidak perlu dibuat," jelasnya.

Tambah beliau lagi, bagaimanapun pihaknya menggunakan model undang-undang di negara-negara dan mengkaji kelemahan dan kekuatannya.

Menurutnya lagi, pihaknya juga akan menilai dari sudut perlembagaan negara dan kehendak rakyat mengenai jenis undang-undang yang perlu diperkenalkan. — Majoriti