MAHKAMAH Rayuan Putrajaya membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan semula pasportnya untuk kegunaan sementara.
Permohonan Najib dibuat bagi membolehkannya ke Singapura bagi melawat anak perempuannya yang dijangka melahirkan anak kedua, tidak lama lagi.
Permohonan itu dibuat ke Mahkamah Rayuan ekoran kerana rayuan bagi sabitan kes Ahli Parlimen Pekan itu sedang dibicarakan di peringkat berkenaan.
Kesemua tiga panel Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Seri Kamaludin Md Said membenarkan permohonan pelepasan pasport, bermula 20 Oktober sehingga 22 November ini.
Keputusan itu dibuat selepas Kamaluddin mendapati alasan yang diberikan adalah munasabah.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi sudah pun membenarkan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor memperoleh pasport antabangsanya secara sementara untuk ke Singapura bagi tujuan sama.
Rosmah hanya dibenar ke Singapura dari 22 Oktober dan perlu pulang ke Malaysia pada atau sebelum 21 November.
Namun sebelum ke Singapura, Rosmah perlu menghadiri prosiding perbicaraan bela diri yang akan bersambung pada 21 Oktober ini. — Astro Awani