Skandal Pandora: Wajibkan ahli Parlimen isytihar harta, aset


  • Massa
  • Sabtu, 16 Okt 2021

ABIM memandang berat pendedahan isu terbabit yang dibuat oleh media antarabangsa baru-baru ini.
ANGKATAN Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa kerajaan mewujudkan Rang Undang-undang (RUU) yang mewajibkan setiap ahli Parlimen mengisytihar nilai harta dan aset kepada umum sebagai inisiatif bagi memastikan isu seperti Pandora Papers tidak berulang.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, Abim memandang berat pendedahan isu terbabit yang dibuat oleh media antarabangsa baru-baru ini.

"Rang undang-undang ini juga perlu mewajibkan setiap pemimpin negara berkenaan menjelaskan sumber serta bagaimana aset-aset ini dikumpulkan.

“Apatah lagi, media antarabangsa, International Consortium of Investigative Journalist (ICIJ), turut melaporkan Pandora Papers juga mengaitkan firma Baker Mckenzie dengan Jho Low yang terlibat dengan skandal kewangan 1MDB," katanya dalam satu kenyataan.

Beberapa tokoh dan pemimpin Malaysia dipercayai terlibat dalam skandal tersebut berdasarkan pendedahan sebuah portal tempatan.

Pada masa ini, Malaysia tidak mempunyai undang-undang yang mewajibkan anggota pentadbiran kerajaan, ahli parlimen dan ahli Dewan Negara mengisytiharkan aset mereka.

Pada tahun 2019, Dewan Rakyat meluluskan usul agar semua anggota parlimen mengisytiharkan aset mereka kepada Speaker Dewan dan salinannya diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Bagaimanapun SPRM berkata tiada tindakan boleh diambil terhadap mereka yang enggan berbuat demikian.

Pada masa sama, Muhammad Faisal berkata, desakan menerusi usul dibuat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar pendedahan ini dibahaskan di Parlimen adalah tepat.

“Atas dasar tersebut, ABIM menggesa perlu ada RUU yang mewajibkan setiap pemimpin negara mengistiyhar nilai wang serta aset dimiliki mereka, baik yang ada di dalam serta luar negara.

"Rakyat perlu terus menyuarakan keprihatinan mereka dengan tuntutan agar pendedahan Pandora Papers perlu dibahaskan secara terbuka semasa sidang rasmi Parlimen dan disiasat menerusi mekanisme perundangan rasmi," katanya.

Terdahulu, Anwar menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang bukan sahaja menolak usul membincangkan Pandora Papers, malah disifatkan ‘peguam bela’ kepada golongan yang menyimpan wang di luar negara.

Beliau mendesak agar usul tersebut dibentang dan dibahaskan, kerana terdapat dakwaan jumlah wang dari Malaysia yang disimpan di luar negara, sudah mencecah ratusan bilion. — Majoriti