1MDB dibenar serah writ saman kepada enam pihak


1MDB memfailkan tuntutan saman sebanyak RM7.6 bilion terhadap kesemua defendan terlibat. — Agensi
FIRMA 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendapat kebenaran daripada Mahkamah Tinggi pada Jumaat untuk menyampaikan writ samannya terhadap enam pihak termasuk dua syarikat perbankan asing.

Pesuruhjaya Kehakiman, Quay Chew Soon membenarkan permohonan 1MDB untuk menyerahkan writ saman berkenaan kepada defendan yang berada di luar negara.

Enam pihak terbabit adalah syarikat perbankan Coutts & Co Ltd dan J.P. Morgan (Switzerland) Ltd; dua syarikat yang diperbadankan di Arab Saudi iaitu Petrosaudi International Limited dan Petrosaudi Holdings (Cayman) Limited serta dua individu masing-masing warga Arab Saudi, Tarik Isam Ahmed Obaid (Tarik Obaid) dan warga Britain, Patrick Andrew Marc Mahony (Patrick Mahony).

Kesemua pihak itu merupakan defendan kedua hingga ketujuh dalam tuntutan saman difailkan 1MDB bernilai AS$1.83 billion (RM7.6 bilion) antaranya atas dakwaan melanggar kontrak, cuai dan melakukan konspirasi jenayah bagi penyelewengan dana firma tersebut.

Perkara berkenaan disahkan oleh peguam dari Messrs. Rosli Dahlan Saravana Partnership semasa dihubungi Bernama pada Jumaat.

"Ya, kami sahkan bahawa pada Jumaat ditetapkan untuk mendengar permohonan plaintif bagi kebenaran untuk menyampaikan notis writ di luar bidang kuasa terhadap defendan di luar negara.

"Selepas mendengar hujah peguam plaintif, mahkamah mengeluarkan perintah yang membenarkan permohonan kami. Mahkamah turut menetapkan 8 November sebagai tarikh untuk pengurusan kes berikutnya,” kata peguam berkenaan yang tidak didedahkan identitinya.

Beliau menambah setakat Jumaat, defendan pertama iaitu Deutsche Bank (Malaysia) Bhd sudah disampaikan writ saman itu.

1MDB selaku plaintif secara ex parte menfailkan notis permohonan terbabit secara berasingan pada 27 Ogos lepas untuk mengeluarkan dan menyampaikan writ saman serentak bagi penyampaian di luar bidang kuasa.

Defendan pertama, Deutsche Bank, adalah pihak tempatan dan Peraturan Mahkamah membenarkan permohonan dibuat terhadap defendan kedua hingga kelima walaupun mereka berada di luar Malaysia, antara lain di Zurich dan Geneva, Switzerland; Al Khobar di Arab Saudi dan Grand Cayman di Kepulauan Cayman, sementara defendan keenam Tarik Obaid adalah penduduk Al-Khobar, Arab Saudi dan defendan ketujuh, Patrick Mohany di London, Britain.

Dalam permohonan itu, plaintif turut memohon kebenaran untuk menyampaikan writ saman serentak terhadap semua defendan di mana sahaja mereka boleh ditemukan.

Pada 7 Mei lepas, 1MDB memfailkan saman tersebut dengan menamakan Deutsche Bank (Malaysia) Bhd, Coutts & Co, J.P. Morgan (Switzerland), Petrosaudi International, Petrosaudi Holdings (Cayman), Tarik Obaid dan Patrick Mahony sebagai defendan pertama hingga ketujuh.

Plaintif mendakwa kesemua defendan cuai, melanggar kontrak dan berkonspirasi untuk menipu 1MDB sehingga menyebabkan kerugian kepada syarikat berkenaan serta menjejaskan reputasi serta nama baik 1MDB. — Bernama