Mahkamah 'bebaskan' pasport Rosmah buat sementara


ROSMAH memohon mendapatkan pasport untuk ke Singapura bagi menemani anak perempuannya yang bakal melahirkan anak kedua tidak lama lagi.

PERMOHONAN Datin Seri Rosmah Mansor untuk mendapatkan semula pasportnya untuk kegunaan sementara mendapat kebenaran daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Rosmah memohon untuk mendapatkan pasport untuk ke Singapura bagi menemani anak perempuannya yang dijangkan bakal melahirkan anak kedua tidak lama lagi.

Bagaimanapun, kebenaran itu diluluskan dengan bersyarat dengan Hakim, Mohamed Zaini Mazlan menetapkan pasport itu perlu dipulangkan sebelum 6 Disember ini.

"Mahkamah membenarkan permohonan pemohon dan pasport dipulangkan pada 15 Oktober (hari ini)," kata Mohamed Zaini.

Selain itu, Rosmah juga hanya dibenarkan ke Singapura pada 22 Oktober ini dan perlu pulang sebelum atau pada 21 November.

Sehari sebelum dijadualkan berangkat ke Singapura, Rosmah terlebih dahulu perlu menghadiri perbicaraan bela diri.

Menurut peguam yang mewakili Rosmah, Datuk Jagjit Singh, anak perempuan anak guamnya, Nooryana Najwa kini mengandung lapan bulan dan bakal melahirkan anak kedua di Singapura.

Peguam itu memohon pasport anak guamnya dilepaskan sementara dan akan dipulangkan pada 24 November ini.

Dalam prosiding itu permohonan itu tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam. — Majoriti