Arab Saudi benar solat berjemah penuh di Masjidil Haram, Masjid Nabawi


  • Benua
  • Sabtu, 16 Okt 2021

UMAT Islam menunaikan solat Jumaat di Masjidil Haram di Makkah, Arab Saudi, mengamalkan penjarakkan sosial. — Reuters
SOLAT berjemaah dengan kapasiti penuh dibenarkan di Masjidil Haram, Mekah dan Masjid Nabawi, Madinah bermula Oktober.

Berdasarkan infografik yang dimuat naik di laman twitter rasminya, Kementerian Dalam Negeri (MOI) Arab Saudi memaklumkan kerajaan tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka di tempat terbuka, kecuali di beberapa tempat tertentu dan tertutup termasuk di kedua-dua masjid suci berkenaan.

"Pekerja dan pengunjung dua masjid suci tetap diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang berada di dalamnya selain wajib berdaftar menerusi aplikasi Eatmarna atau Tawakkalna”, katanya.

Kementerian juga memberi kebenaran kepada sistem pengangkutan awam, restoran, panggung wayang, dewan acara dan sebagainya untuk beroperasi pada kapasiti penuh tanpa tertakluk kepada arahan penjarakan fizikal.

Bagaimanapun, hanya penerima dua dos vaksin yang dibenarkan memasuki kesemua premis berkenaan.

Kebenaran ini juga diberikan kepada golongan yang dikecualikan daripada mengambil vaksin atas faktor kesihatan dengan mereka diwajibkan memakai pelitup separuh muka.

Menurut kementerian itu lagi penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup separuh muka masih diwajibkan di tempat-tempat yang tidak dapat disahkan tahap kesihatan pengunjungnya menerusi aplikasi Tawakkalna.

Pemilik premis awam dan swasta pula wajib mengesahkan tahap vaksinasi pengunjung melalui aplikasi Tawakkalna sebelum mereka dibenarkan memasuki premis masing-masing. — Agensi