Membaca Surah Al-Ikhlas sama seperti sepertiga Quran


  • Mukmin
  • Isnin, 18 Okt 2021

UMAT Islam yang mengamalkan Surah Al-Ikhlas dijanjikan dengan ganjaran yang besar. — Gambar hiasan/Agensi

SETIAP Surah yang termaktub dalam Al-Quran mempunyai keistimewaan dan sebab-sebab tersendiri mengapa ia diturunkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Antara Surah terpendek yang diturunkan dengan hanya empat ayat, Surah Al-Ikhlas menjelaskan tentang keesaan ALLAH dan menolak segala macam bentuk penyekutuan terhadap-Nya.

Walaupun hanya empat ayat, Surah ini mempunyai manfaat yang besar bagi mereka yang mengamalkannya. Dalam satu Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, daripada Abu Sa'id Al-Khudri RA yang bermaksud:

“Sesungguhnya seseorang mendengar orang lain membaca قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ dengan berulang kali, lalu dia datang bertemu Rasulullah SAW dan menceritakan hal itu kepadanya, dan seolah-olah orang itu menganggap remeh surah itu, maka bersabdalah Rasulullah SAW : “Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sesungguhnya surat itu sebanding dengan sepertiga Al-Quran.”

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi melalui laman Telegram, berkongsi satu Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang menceritakan ketika mana seorang lelaki datang bertemu Rasulullah dan meluahkan rasa cinta dan seronoknya membaca Surah Al-Ikhlas.

Rasulullah SAW kemudian bersabda kepadanya bahawa kecintaan beliau kepada surah ini akan membawanya ke syurga.

Jelas Ahmad Sanusi, Surah Al-Ikhlas mengandungi bilah-bilah perkataan yang mengesakan ALLAH.

“Mereka yang bertadabur menghayatinya seakan-akan merasa cinta dan seronok dalam mengagungkan ALLAH.

“Maka orang yang mengesakan ALLAH dan mengagungkan ALLAH, akan dicintai oleh ALLAH di akhirat kelak bahkan dikurniakan ganjaran syurga,” katanya.

Tambah Ahmad Sanusi lagi, kecintaan sahabat kepada surah ini bukan kerana ia adalah surah yang pendek dan mudah dibaca supaya dapat selesai solat dengan cepat, tetapi kerana intipati kandungannya yang mengesakan ALLAH.

“Semoga ALLAH mencampakkan rasa cintakan Al-Quran di dalam jiwa kita. Semoga ALLAH membimbing kita,” kata beliau. — Majoriti