TINDAKAN seorang lelaki yang mengerjakan solat di tengah-tengah kesesakan jalan raya sambil dikawal polis trafik menjentik hati netizen.
Rata-rata netizen mendakwa lelaki yang mengenakan baju berwarna merah terbabit mungkin kurang siuman, namun masih mampu berfikir untuk mengerjakan rukun Islam kedua.
Menerusi video pendek yang dikongsikan di laman Instagram Feriansyah Yusrif, lelaki itu sedang solat di atas jalan raya dengan tidak menghiraukan keadaan sekeliling sambil dipantau oleh anggota-anggota polis trafik yang berada di situ.
"Tiada masalah orang gila solat, yang jadi masalah apabila orang yang tak gila tetapi tak solat," tulis seorang pengguna media sosial, Ali Mohammad.
Seorang lagi pengguna media sosial, Muhd Azrul berkata, orang yang mengutuk tindakan lelaki terbabit juga mungkin ada khilaf jika tidak mengerjakan sembahyang apabila masuk waktunya.
"Mungkin dia ada masalah fizikal or mental. Perlu ke kita nak hentam dia.
"Belum tentu orang yang mengata kat dia ni solat on time (tepat pada masa)," katanya.
TANGKAP layar komen netizen berhubung video tular lelaki solat atas jalan.
Sementara itu, seorang lagi netizen, Andy Ahmad berkata, perbuatan lelaki itu seperti memberi peringatan kepada orang ramai agar menunaikan solat tanpa sebarang alasan walaupun dia dikategorikan ‘tidak sihat’.
“Yang diangkat sebagai ‘tak sihat’, sedang mengerjakan suatu amalan yang paling diwajibkan di dalam dunia, walaupun tak kena tempat tetapi tetap ada beberapa pengajaran di situ,” ujarnya.
Pada masa sama, netizen turut memuji tindakan murni anggota polis trafik yang tidak menganggu ‘kekhusyukan’ solat lelaki itu dan terus menjalankan tanggungjawab mengawal lalu lintas dengan sebaiknya.
"Orang itu waras atau tidak, cara solatnya betul atau tidak, tetap juga abang (polis) trafik tidak mengganggunya dan terus kawal lalu lintas. Respect!," tulis Shahir Jamaluddin.
Dalam pada itu, seorang saksi kejadian, Madi Statham berkata, lelaki terbabit dipercayai warga Rohingya dan kejadian berlaku di hadapan sebuah stesen petrol di Taman Wahyu, Kuala Lumpur pada Rabu. — Majoriti