Polis buru guru tunjuk kemaluan pada anak murid


  • 112
  • Isnin, 18 Okt 2021

POLIS kini sedang mengesan suspek yang melarikan diri selepas mangsa membuat laporan polis. — The Star

POLIS memburu seorang guru yang melakukan perbuatan tidak senonoh dengan menunjukkan kemaluan kepada pelajarnya bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri, kejadian itu berlaku pada Ahad selepas suspek yang berusia 40 tahun selesai menghantar dua pelajar lain menjalani ujian memandu di Bachok, Kelantan.

"Suspek dikatakan melakukan perbuatan terkutuk tersebut di dalam sebuah kereta jenis Perodua Viva.

"Ketika itu mangsa yang berusia 27 tahun berada di tempat duduk hadapan kereta yang dipandu suspek," katanya.

Tambahnya lagi, suspek dikatakan telah membuka zip seluar sebelum mengeluarkan alat sulitnya untuk ditunjukkan kepada mangsa sewaktu dalam perjalanan menghantarnya pulang.

Jelasnya lagi, mangsa yang terkejut dengan situasi itu terus menghubungi ibu saudara agar segera mengambilnya.

"Suspek juga tidak mengendahkan mangsa sewaktu diarah supaya memberhentikan kereta.

"Mangsa kemudian bertindak membuka pintu sewaktu kereta sedang bergerak," ujarnya.

Mohd Azmir menambah, suspek akhirnya memberhentikan kereta sebelum mangsa keluar dan melarikan diri ke kawasan rumah penduduk setempat untuk meminta bantuan.

Jelasnya, suspek dipercayai melarikan diri selepas mangsa yang merupakan seorang peniaga membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh, Kelantan selepas kejadian.

"Polis kini sedang mengesan suspek.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955," jelasnya. — Sinar Harian

PDRM, guru, murid, kemaluan, viva, kelantan