Lanjut pengecualian cukai SST, rayu persatuan hotel


  • Massa
  • Isnin, 18 Okt 2021

LANGKAH itu akan merancakkan kembali industri pelancongan dan perhotelan negara, kata persatuan hotel. —Reuters

KERAJAAN perlu melanjutkan tempoh pengecualian pembayaran Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sehingga Disember tahun hadapan, kata Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA).

Timbalan presidennya, Dr Sri Ganesh Michiel, pengecualian pembayaran cukai itu perlu digariskan dalam Belanjawan 2022 yang dijadual dibentangkan 29 Oktober depan.

"Pengecualian itu harus diberikan kepada premis penginapan pelancong bagi semua kategori cukai termasuk penginapan, pakej pelancongan dan runcit, selepas perniagaan mereka terjejas akibat penularan Covid-19.

"Kerajaan juga perlu menaikkan nilai ambang tahunan SST bagi industri perhotelan daripada RM500,000 kepada RM1.5 juta," katanya.

Tambahnya lagi, pengecualian pembayaran ini adalah untuk menggalakkan pelancong luar negara melancong ke Malaysia apabila mereka dibenarkan melancong kelak.

Jelasnya lagi, ia juga akan merancakkan kembali industri pelancongan dan perhotelan negara.

"Kerajaan juga perlu menguatkuasakan undang-undang bagi memantau platform pelancongan e-dagang yang dikendalikan pihak luar.

"Perkara itu perlu bagi mengelakkan agensi pelancongan berlesen tempatan sedia ada terjejas," ujarnya.

Sementara itu Pengarah Urusan Kumpulan Sutra Travel dan Tourism Management of Companies Datuk Syed Razif Syed Yasin berkata kerajaan diminta menyediakan peruntukan mencukupi untuk industri pelancongan melabur dalam proses pendigitalan perniagaan.

"Ia bagi memastikan produk pelancongan negara mudah diakses.

"Transformasi pendigitalan mampu menyediakan brosur pelancongan tempatan yang lebih interaktif kerana maklumat mengenai produk pelancongan lebih mudah disampaikan selain pemasaran digital akan lebih berkesan," jelasnya.

Tambahnya lagi, beliau mencadangkan kerajaan melanjutkan tempoh moratorium untuk industri pelancongan.

"Hal ini perlu sementara mereka memulihkan semula perniagaan selepas orang ramai mula kembali melancong susulan pergerakan rentas negeri dibenarkan oleh kerajaan bermula 11 Oktober lepas," hurainya.— Bernama