SATU tinjauan baru-baru ini menunjukkan majoriti rakyat Thailand membantah pembukaan semula sempadan negara itu, susulan khuatir terhadap jangkitan baharu Covid-19 daripada pelancong, selain penduduk tempatan juga tidak dilengkapi vaksin wabak itu.
Polling Suan Dusit bertanya kepada 1,392 responden mengenai pendapat mereka berkaitan rancangan Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha yang mahu membuka negara itu kepada pelancong yang telah mendapat vaksinasi lengkap mulai 1 November.
Sebilangan besar responden atau 59.86 peratus menolak rancangan itu, sementara 60.10 peratus berpendapat ia bukan masa yang tepat untuk membuka kembali sempadan negara itu.
Responden juga berpendapat, Thailand hanya boleh berbuat demikian kepada pelancong sekiranya lebih daripada 70 peratus penduduknya telah divaksin, sekali gus dapat mengawal wabak itu manakala kemudahan kesihatan awam juga mampu bersiap siaga dengan variasi virus baharu.
Tinjaun itu juga menunjukkan bahawa kebanyakan pemilik perniagaan dan pekerja mahu sekatan di negara itu dibuka semula, meskipun kelompok terakhir itu prihatin terhadap jangkitan baharu.
Sementara itu, pembukaan semula sempadan negara itu mulai 1 November ini akan menyokong industri pelancongan Thailand dan pertumbuhan ekonomi positif diharapkan pada tahun hadapan jika Covid-19 dikawal dengan baik, kata Pusat Penyelidikan Kasikorn pada Sabtu.
Pusat itu berkata, jumlah kedatangan warga asing dijangka meningkat sebanyak 64 peratus, terutama ketika pembukaan semula sempadan negara itu pada November.
Pusat itu juga menjangkakan 2021 akan menyaksikan sejumlah 180,000 pelancong warga asing, peningkatan 30,000 lebih daripada yang dijangka sebelum ini.
Selain itu, pusat penyelidikan itu berkata, faktor utama yang menarik pengunjung ke negara itu termasuk wilayah dengan kadar jangkitan rendah, visa pelancong khas dan Skim Phuket Sandbox.
Skim Phuket Sandbox yang dilancarkan pada bulan Julai telah terbukti sangat popular dalam kalangan pelancong dari Amerika Syarikat(AS), United Kingdom (UK), Jerman dan Timur Tengah.
Dalam perkembangan lain, data wawasan perjalanan Google menunjukkan, orang ramai kebanyakannya mencari tawaran hotel atau penginapan di Thailand. Negara itu muncul dengan jumlah carian tertinggi termasuk Rusia, AS, UK, Jerman dan India.
Pencarian berpusat adalah di sekitar Bangkok, Kota Pattaya, Koh Samui di Surat Thani serta kawasan Karon dan Patong di Phuket.
Pusat penyelidikan itu menambah, faktor yang paling penting untuk menghidupkan kembali sektor pelancongan Thailand adalah menerusi pengendalian wabak dengan betul, dengan memberi vaksinasi lengkap kepada lebih daripada 70 peratus penduduknya. — Agensi