INDUSTRI pelancongan dan hotel di negara ini masih memerlukan pasaran antarabangsa untuk proses pemulihan yang lebih lancar selepas sektor itu terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng berkata, kebergantungan kepada pasaran domestik semata-mata belum mencukupi bagi tujuan pemulihan sepenuhnya.
"Industri pelancongan dan hotel masih memerlukan pasaran antarabangsa kerana kemampuan berbelanja domestik sangat rendah.
"Jadi, kami masih menunggu pembukaan semula sempadan negara untuk ketibaan pelancong antarabangsa," katanya.
Sementara itu, Lip Seng menganggarkan tempahan bilik hotel di beberapa lokasi meningkat sehingga 40 peratus terutamanya pada hujung minggu ini susulan aktiviti rentas negeri dibenarkan bermula Isnin lalu.
Beliau berkata, lokasi terbabit adalah Port Dickson, Negeri Sembilan; Ipoh, Perak, Pulau Pinang dan Pulau Langkawi, Kedah.
Menurutnya, sebelum pembukaan rentas negeri, kadar tempahan bilik hotel sekitar 25 hingga 30 peratus.
"Selepas pengumuman rentas negeri, beberapa destinasi telah menerima peningkatan tempahan hotel terutamanya pada hujung minggu antaranya termasuklah Pulau Pinang, Port Dickson, Ipoh, dan Pulau Langkawi yang telah menjadi destinasi terpilih sejak pembukaan gelembung pelancongan.
"Bagaimanapun, kemungkinan besar ini kesan sementara sahaja yang disebabkan oleh permintaan mendadak terpendam (pent-up demand) dan tertumpu kepada hujung minggu," katanya.
Tambah beliau, dengan perkembangan positif itu, diharap ia berupaya memulihkan industri hotel yang terjejas teruk sejak pandemik Covid-19 melanda dunia termasuk Malaysia tahun lalu.
Pada 10 Oktober, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan rentas negeri dibenar bermula 11 Oktober.Kebenaran itu diberikan selepas kadar vaksinasi individu dewasa yang lengkap menerima vaksin telah mencapai 90 peratus.
Bagaimanapun, Ismail Sabri menegaskan kebenaran itu tidak terpakai kepada lokaliti yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). — Sinar Harian