Naik taraf status pembangkang, titik tolak sejarah demokrasi negara


  • Massa
  • Ahad, 17 Okt 2021

JENIRI berkata, kedudukan ketua pembangkang perlu diletakkan di tempat yang wajar dengan kemudahan sepatutnya. — Awani

TINDAKAN kerajaan yang menaiktaraf status pejabat ketua pembangkang adalah satu titik tolak dalam sejarah demokrasi di Malaysia, kata Profesor Madya Dr. Jeniri Amir.

Pakar politik itu berkata, langkah yang pertama kali dilaksanakan itu wajar kerana ketua pembangkang memainkan peranan penting sebagai peneraju utama dalam proses semak dan imbang.

“Ini juga satu langkah kehadapan untuk menuju demokrasi yang lebih matang demi kesejahteraan dan kebaikan rakyat seluruhnya,” katanya kepada Majoriti pada Ahad.

Mengulas lanjut, Jeniri berkata, ketua pembangkang adalah lambang kepembangkangan di Malaysia dan kedudukannya perlu diletakkan di tempat yang wajar, dengan imbalan-imbalan dan kemudahan-kemudahan yang sepatutnya.

“Bukan seperti sebelum ini yang mana kita mendiskriminasikan mereka, jadi kita berharap bahawa pembangkang akan dapat kemudahan-kemudahan lain.

“Yang penting bagaimana kerajaan melayan pembangkang pada amnya, termasuk dari segi peruntukan kepada kawasan yang diwakili pembangkang.

“Ini kerana kerajaan tidak harus menghukum atau bersikap tidak adil kepada kawasan yang dikuasai oleh pembangkang,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri,Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada minggu lalu menyerahkan surat pengesahan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menaiktaraf status pejabat Ketua Pembangkang, dengan kemudahan-kemudahan yang setara dengan pejabat menteri.

Surat tersebut diserahkan kepada Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson sebelum mesyuarat kedua Jawatankuasa Pemandu MoU Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) di bilik mesyuarat Parlimen. —Majoriti