KESIBUKAN menjalani kehidupan normal menjelang fasa endemik hingga menyebabkan keharmonian rumah tangga yang dapat dipupuk semula ketika pandemik Covid-19, kembali pudar juga dikatakan boleh menyumbang kepada meningkatnya kes cerai.
Perkara itu dianggap tidak mustahil berikutan banyak isu rumah tangga sebelum ini tertangguh ibarat pecah menanti sebab, retak menanti belah.
Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali berkata, pasangan yang nekad bercerai sebenarnya memilih untuk berbuat demikian bagi mengelakkan penganiayaan secara berterusan terhadap diri mereka sendiri.
"Apabila sudah usaha dan bertawakal, namun suami atau isteri kekal dengan sikap sama, maka mereka nekad abai sayang pasangan dan pilih untuk lebih sayang diri sendiri dengan memfailkan perceraian.
"Individu yang nekad untuk bercerai ini adalah mereka yang sedar tentang hikmah perkahwinan yang ditetapkan oleh syariat iaitu mesti saling membahagiakan," katanya kepada Majoriti.
Mengulas lanjut, Suzana berkata, berdasarkan kes-kes yang dikendalikan pihaknya, situasi lain yang mungkin timbul ialah pasangan tidak sehaluan boleh terus kekal dalam perkahwinan meskipun tidak bahagia.
Begitupun, katanya, mereka akan mengambil pendirian untuk bercerai akhirnya jika tidak lagi dapat bertahan apabila krisis rumah tangga jelas bertambah parah hingga sukar diselamatkan.
Beliau berkata, keadaan tersebut bergantung kepada sikap dan prinsip individu terlibat dalam mengendalikan masalah rumah tangga masing-masing.
"Misalnya ada kes melibatkan orang ketiga di mana isteri rasa selamat semasa pandemik sebab terkurung di rumah dan mengharapkan keadaan boleh berubah.
"Si isteri berusaha macam-macam untuk ambil perhatian suami tetapi apabila suami tetap pilih orang ketiga, ada yang kecewa dan akhirnya nekad bercerai juga," katanya.
Tambahnya, contoh lain melibatkan situasi isteri yang perlu membela biawak hidup ketika pandemik.
"Apabila suami yang asalnya tidak bekerja tetapi ketika pandemik, bebanan yang dipikul isteri lebih terasa memandangkan dia perlu ambil tanggungjawab tersebut dengan pada masa sama perlu menguruskan kekalutan lain yang timbul.
"Hal ini menyebabkan dia terfikir untuk melepaskan bebanan tambahan tadi dengan menuntut perceraian," katanya.
Majoriti pada 14 Oktober melaporkan statistik permohonan perceraian dalam kalangan pasangan beragama Islam di Malaysia dibimbangi akan meningkat selepas negara memasuki fasa endemik kelak.
Ini kerana, meskipun terdapat 66,440 permohonan cerai sepanjang tempoh Mac 2020 hingga Ogos 2021 seperti yang didedahkan di Parlimen pada Selasa, jumlah itu boleh dianggap lebih rendah berbanding pada tahun 2019.
Statistik kes permohonan perceraian yang direkodkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dua tahun lalu menunjukkan kira-kira 95,000 orang bercerai sepanjang tempoh itu dan sebanyak 41,000 kes telah diluluskan oleh mahkamah. — Majoriti