
DUA lelaki termasuk seorang warga Kemboja dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan, atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga Kemboja pada 3 Oktober lalu.
Kedua rakan itu yang berdepan hukuman mati didakwa di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh warga Kemboja, Nasri Roza, 29, yang merupakan seorang tukang rumah dan pencanting batik warga tempatan, Mohd Faiza Akma Md Noor, 36, kerana kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka secara bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa dengan niat telah membunuh Sovann Arozak, 40.
Kesalahan bunuh itu dilakukan di hadapan sebuah rumah di Jalan Mustapha, Kampung Penambang antara jam 9.30 malam hingga 10 malam, pada 3 Oktober 2021
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Akta yang sama yang membolehkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Sharifah Amirda Shasha tidak menawarkan jaminan kepada kedua-dua mereka dan memohon tarikh untuk laporan forensik.
Mahkamah menetapkan 24 Januari tahun hadapan untuk sebutan semula kes.— Majoriti