
BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebenarnya mengetahui tentang penyelewengan dana Yayasan Akalbudi (YAB) sejak 2014.
Perkara itu diberitahu kepada Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran yang turut memberitahu Zahid meletakkan kesalahan dan menuding jari kepada bekas Setiausaha Eksekutifnya Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly.
Katanya, pihak pendakwaan berani mengatakan bahawa tertuduh bertekad untuk menjadikan Mejar Mazlina sebagai kambing hitam bagi menutup kesalahannya.
"Kami berhujah bahawa tertuduh perlu bertanggungjawab atas tindakan Mejar Mazlina. Berdasarkan keterangan, jelas bahawa beliau hanya mengikut perintah ketika menyediakan cek terbabit.
"Keterangan yang dikemukakan pendakwaan ialah pengeluaran cek YAB oleh Mazlina dibuat dalam pengetahuan dan berdasarkan arahan tertuduh dan kenyataan bahawa Ahmad Zahid tidak mengetahuinya adalah tidak benar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berhujah di akhir kes pendakwaan dalam perbicaraan Ahmad Zahid, yang berdepan 47 pertuduhan melakukan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana YAB.
Katanya lagi, Mazlina menyediakan cek itu atas arahan tertuduh, sama ada cek yang ditandatangani atau dicap bagi membayar kad kredit atau membeli insurans dan cukai jalan.
Jelasnya, Mazlina adalah seorang saksi yang boleh dipercayai malah tindak-tanduknya adalah konsisten dengan anggota tentera yang mematuhi arahan pegawai atasannya.
"Kami berhujah amat mudah untuk menghargai hakikat bahawa Mazlina berterus-terang dalam maklum balasnya kepada peguam semasa disoal balas. Beliau sedia mengakui kesilapannya dan tidak berusaha untuk mencantikkan keterangannya.
"Beliau konsisten dalam keterangannya berhubung kebenaran dan kelulusan yang diberikan tertuduh kepadanya berhubung penggunaan cek YAB serta cap tandatangan Ahmad Zahid. Pendek kata, keterangan beliau tetap utuh sepanjang tiga peringkat pemeriksaan,” ujarnya.
Hujah Rozela lagi, bukti yang dikemukakan secara langsung, keadaan persekitaran dan berdokumen mewajarkan tertuduh membela diri terhadap semua pertuduhan.
Beliau berkata berdasarkan hujah dan bukti yang dikemukakan, satu kes prima facie telah dibuktikan dengan jelas berhubung kesemua 12 pertuduhah pecah amanah jenayah terhadap tertuduh.
"Kami telah membuktikan bahawa tertuduh memiliki mens rea yang diperlukan untuk melakukan kesalahan itu melalui bukti yang dikemukakan secara langsung, dan dengan mengguna pakai anggapan statutori mengikut Seksyen 409B Kanun Keseksaan.
"Tertuduh juga telah menyeleweng dana YAB yang terdapat dalam akaun semasa dan tujuh akaun simpanan tetap yang diamanahkan kepadanya,” kata beliau.
Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah jenayah, lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit wang milik YAB.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Rabu ini.— Bernama