PRN Melaka : Bertanding solo, tindakan berani mati BN


  • Massa
  • Sabtu, 16 Okt 2021

BN perlu menjelaskan mengenai isu keterlibatan gabungan itu di dalam kerajaan terlebih dahulu. — Bernama
KEPUTUSAN Barisan Nasional (BN) bertanding secara solo pada pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah tindakan berani mati, kata Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib.

Menurutnya, ini kerana risiko politik pada masa kini masih belum diketahui kerana belum berlaku sebarang PRN sejak pembentukan kerajaan baharu.

"Kalau betul PRN Melaka akan diadakan, tindakan itu menggambarkan bahawa ia adalah testing round untuk BN mengukur penerimaan pengundi terhadap mereka dan pada masa sama ia merupakan satu langkah berani mati.

"Kita tidak tahu risiko politik sekarang, tambahan saya yakin bahawa Pakatan Harapan (PH) akan bertindak sebagai satu kumpulan.

"Memang BN juga satu kumpulan, tetapi persoalannya, bagaimana pula kedudukan Pakatan Nasional (PN)," katanya kepada Majoriti.

Terdahulu, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi gambaran kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) berkemungkinan tidak dapat direalisasikan dalam PRN Melaka sekiranya ia diadakan kelak.

"Oleh kerana MN ini tidak pernah didaftarkan, maka saya tidak nampak ada cahaya terang untuk MN itu direalisasikan sebagaimana pilihan raya kecil yang pernah diadakan.

"Biarlah Umno bertanding dengan panji-panji BN secara solo, dan InsyaAllah rakyat memilih parti yang terbaik," katanya.

Sementara itu, Md Shukri berkata, BN perlu menjelaskan mengenai isu keterlibatan gabungan itu di dalam kerajaan terlebih dahulu.

"Kalau BN bertindak bertanding secara sendirian, bagi saya ia merupakan langkah yang baik buat BN cuma kesepakatan BN dan PN ini bagaimana.

"BN dan PN ibarat satu molekul yang memerlukan antara satu sama lain kerana sehingga hari ini mereka tidak boleh berdiri sendiri kerana saling melengkapi untuk membentuk sebuah kerajaan.

"Gabungan MN ini bagi saya sudah tidak praktikal sebab mengelirukan, sebab dua komponen gabungan itu berada dalam PN dan satu lagi Umno berada dalam BN jadi ia gabungan yang celaru.

"Saya harap ada satu pengumuman atau indikator yang dapat diumumkan pengerusi BN mengenai perkara ini. Kalau mereka umumkan bertandingg 100 peratus di PRN Melaka, maknanya BN tiada kerjasama dengan PN," katanya.

Umno, BN, PN, PH, MN, PRN Melaka, Md Shukri Shuib