'Zahid Hamidi guna RM17.9 juta dana YAB untuk anak beli hotel di Bali'


AHMAD Zahid diamanahkan dengan dana YAB bagi tujuan khusus iaitu membasmi kemiskinan dan meningkatkan kebajikan golongan miskin. — The Star

BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, 68, dikatakan mengeluarkan sejumlah RM17.9 juta daripada dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Perkara itu diberitahu Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis yang juga mendedahkan pengeluaran itu dilakukan bagi memudahkan anak perempuannya membeli sebuah hotel butik di Bali, Indonesia.

Difahamkan, anak Ahmad Zahid iaitu Datuk Nurulhidayah merupakan pembeli yang berminat untuk mengambil alih saham Ri-Yaz Asset Sdn Bhd dan mengusahakan hotel itu.

Kata Raja Rozela, perkara itu disahkan oleh saksi pendakwaan ke-83, Tan Sri Rashid Manaf serta saksi pendakwaan ke-84, Datuk Seri Mohd Shaheen Shah Mohd Sidek yang telah bertemu dengan Nurulhidayah dan tertuduh bagi membincangkan cadangan usaha sama.

"Perkara itu bermula apabila tertuduh memberikan arahan spesifik kepada Affin Bank untuk mengeluarkan dana daripada tujuh akaun simpanan tetap YAB berjumlah RM17,953,191.04 melalui firma guaman Tetuan Lewis & Co.

“Firma itu (Lewis & co) telah mengeluarkan sekeping cek pada 30 Jun 2016 bagi jumlah RM8.6 juta kepada Ri-Yaz Asset Sdn Bhd sebaik menerima arahan daripada tertuduh," katanya.

Tambah beliau lagi, menurut saksi pendakwaan ke-87, B Muralidharan, beliau telah diarahkan oleh tertuduh untuk membuat pembayaran itu.

Raja Rozela berkata demikian ketika berhujah di akhir kes pendakwaan terhadap Ahmad Zahid.

Presiden Umno itu berdepan berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah jenayah, lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik YAB.

Jelasnya lagi, pembayaran itu bertujuan bagi tujuan membeli 60 peratus saham syarikat tersebut daripada Tan Sri Rashid yang ketika itu adalah Pengerusi Ri-Yaz Asset.

“Sebelum ini, Tan Sri Rashid memberitahu mahkamah bahawa beliau berhasrat menjual sahamnya kerana syarikat itu berdepan kesukaran dari segi pembayaran bagi pinjaman sebanyak AS$24.8 juta (RM103 juta) daripada EXIM Bank untuk pembelian hotel tersebut di Bali, Indonesia.

"Ahmad Zahid telah diamanahkan dengan dana YAB bagi tujuan khusus iaitu membasmi kemiskinan dan meningkatkan kebajikan golongan miskin serta menjalankan kajian dan penyelidikan yang berkaitan dengan program pembasmian kemiskinan," ujarnya.

Hurainya lagi, Ahmad Zahid juga secara sedar telah memilih untuk menggunakan dana YAB bagi membayar kad kredit, polisi insurans serta cukai jalan kenderaannya dan tidak menggunakan akaun bank peribadi beliau.

Katanya, bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan dalam kenyataannya menyebut cek terbabit disediakan atas arahan dan pengetahuan tertuduh.

Pendakwaan turut menyangkal dakwaan pembelaan bahawa Mazlina memiliki kawalan penuh ke atas buku cek justeru, tertuduh tidak mempunyai akses kepada dokumen itu.

“Itu hanya alasan kerana Ahmad Zahid adalah bos Mazlina. Beliau hanya perlu meminta Mazlina menunjukkan buku cek dan penyata kad kredit kepadanya.

“Kami berhujah bahawa Mejar Mazlina bukan sengaja menyembunyikan buku cek daripada tertuduh. Tidak ada asas untuk rumusan itu,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung pada Isnin depan. — Majoriti

Zahid Hamidi, hotel